6 jenis ikan tempatan ini khasiatnya setara salmon, jangan pandang rendah!
IKAN antara sumber protein terbaik yang bukan sahaja penting untuk membina dan memperbaiki tisu badan, malah kaya dengan pelbagai nutrien untuk kesihatan tubuh.
Banyak kajian menunjukkan bahawa pengambilan ikan secara berkala dapat membantu menyokong kesihatan jantung serta fungsi otak kerana kandungan asid lemak Omega-3 yang terkandung di dalamnya.
Selain membantu mengurangkan paras trigliserida dalam darah, kandungan omega-3 juga berperanan menyokong fungsi otak, termasuk memelihara daya ingatan dan keupayaan berfikir.

Selain Omega-3, ikan turut membekalkan vitamin D, vitamin B12 serta mineral penting yang diperlukan tubuh untuk berfungsi dengan baik dalam jangka masa panjang.
Khusus untuk penggemar ikan, Kuali kongsikan enam jenis ikan tempatan terbaik, malah setara dengan ikan import mahal yang ada di pasaran.

1. Kembung/pelaling
Ikan kembung atau juga disebut ikan pelaling merupakan antara ikan tempatan yang memiliki kandungan Omega-3 paling tinggi, malah setanding dengan ikan salmon.
Tidak hairan apabila ikan kembung turut dikategorikan sebagai salah satu 'superfood' tempatan kerana padat dengan nutrisi, malah setanding dengan ikan import.
Masakan: Ikan kembung sering dijadikan kuah laksa selain sedap digoreng garing.

2. Tenggiri
Selain Omega-3, ikan tenggiri juga tinggi dengan protein serta pelbagai vitamin dan mineral penting untuk tubuh.
Kandungan protein pada ikan tenggiri membantu membina otot dan membaiki tisu badan.
Ikan tenggiri tergolong dalam kumpulan ikan berlemak (oily fish) yang padat Docosahexaenoic Acid (DHA) dan Eicosapentaenoic Acid (EPA) untuk kesihatan jantung dan otak.
Masakan: Masak singgang atau asam pedas.
MENARIK DIBACA: Ikan kukus halia-kicap ala Cina Muslim... Isi 'juicy', aroma kuah harum bangkit selera
MENARIK DIBACA: Kawan Cina kongsi teknik masak ikan stim kicap, wajib ada 4 bahan penting! Jadi 'sebiji' macam restoran

3. Tongkol (Tuna tempatan)
Ikan tongkol merupakan sebahagian daripada ikan tuna tempatan yang kaya dengan protein berkualiti tinggi dan asid lemak penting untuk perkembangan sel-sel otak.
Antara kelebihan ikan tongkol adalah sifatnya yang rendah kalori dan sesuai dijadikan pilihan menu untuk individu yang berdiet.
Masakan: Singgang, gulai ikan tongkol

4. Patin
Ikan patin kaya dengan lemak baik seperti MUFA (lemak tidak tepu tunggal) dan PUFA (lemak tidak tepu poli) merangkumi lemak Omega-3 dan Omega-6.
Antara lain kelebihan ikan patin ialah, ikan jenis air tawar ini turut kaya dengan vitamin D yang baik untuk kekuatan tulang.
Masakan: Masak tempoyak, goreng

5. Siakap
Ikan siakap mempunyai isi yang lembut dan mengandungi asid lemak tidak tepu yang baik untuk mengurangkan keradangan.
Sumber protein yang tinggi pada ikan siakap membantu membina dan mengekalkan jisim otot tubuh.
Selain itu, kandungan asid Omega-3 pada ikan siakap juga membantu mengurangkan tekanan (stres).
Masakan: Siakap stim limau, dibakar, tiga rasa.

6. Cencaru
Kajian mendapati ikan cencaru dapat membantu menurunkan risiko masalah jantung serta menyokong fungsi memori dan kognitif otak.
Selain kaya dengan sumber Omega-3, ikan cencaru juga tinggi dengan vitamin B12 untuk menyokong sistem saraf sihat dan membantu proses membentuk sel darah merah.
Masakan: Cencaru sumbat, cencaru bakar