Ikan kukus halia-kicap ala Cina Muslim... Isi 'juicy', aroma kuah harum bangkit selera
SEBUT sahaja menu ikan kukus, ramai akan terbayangkan hirisan lemon atau limau nipis yang memberikan rasa masam serta segar.
Sebenarnya, ada banyak lagi cara untuk menikmati ikan kukus termasuklah versi halia bersos kicap yang cukup harum dan menyelerakan seperti yang sering dihidangkan di restoran Cina Muslim.
Menerusi perkongsian seorang pengguna di Threads, resipi ikan kukus halia Chinese style ini dikatakan menghasilkan isi ikan yang lembut dan juicy dengan kuah penuh aroma.
"Halia, minyak bijan, bawang putih, kicap… tell me how can this not be delicious?
"Ikan kukus halia Chinese style ni memang light, fragrant, savoury and so droolworthy! Ikan lembut juicy dengan kuah yang penuh aroma, makan dengan nasi panas," katanya.
Jom Kuali kongsikan resipi mudah ini.

Bahan utama
- 1 ekor ikan siakap, jenahak, kerapu atau apa sahaja pilihan, dibersihkan
- ½ ketul besar halia muda, dihiris nipis
- 5 hingga 6 biji cili padi, dipotong jika suka
- Daun bawang, dipotong
Bahan sos kicap
- 2 hingga 4 sudu besar kicap manis atau kicap lemak biasa
- 3 sudu besar sos tiram
- 2 sudu besar kicap cair
- ½ cawan air atau secukupnya
- 2 sudu kecil lada sulah
- 5 sudu kecil minyak bijan
Bahan tumis
- ½ ketul halia muda, dihiris halus
- 3 ulas bawang putih, dicincang halus
- 3 ulas bawang merah, dicincang halus
- Sedikit minyak
MENARIK DIBACA: Che Nom ajar cara mudah masak siakap stim, siap ada tip bagi isi ikan lembut
MENARIK DIBACA: Pelanggan tak puas hati harga sajian ikan patin kukus lebih RM900, ini fakta anda perlu tahu
Cara penyediaan
- Gaulkan ikan dengan sedikit garam, kemudian letakkan di dalam pinggan atau dulang yang sesuai untuk mengukus.
- Ratakan hirisan halia muda di atas ikan dan masukkan sedikit halia ke dalam bahagian perut ikan.
- Tabur cili padi dan daun bawang di atas ikan.
- Panaskan kukusan sehingga air mendidih. Kemudian kukus ikan sehingga masak.
- Setelah ikan masak, angkat dan ketepikan. Jangan buang air kukusan yang keluar daripada ikan.
- Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis halia, bawang putih dan bawang merah yang telah dihiris sehingga wangi.
- Masukkan bahan-bahan sos kicap dan kacau sehingga sebati. Sesuaikan rasa mengikut selera.
- Tuangkan sos yang telah dimasak ke atas ikan kukus tadi.
- Biarkan sos bercampur dengan air kukusan ikan untuk menghasilkan kuah yang lebih beraroma.
- Siap! Hidangkan Ikan Kukus Halia ini bersama nasi putih panas.