Ramai tak makan, risau kolesterol tinggi! Realitinya udang banyak khasiat, manfaat kesihatan
UDANG menjadi antara makanan yang akan dielakkan oleh mereka yang mempunyai tinggi kolesterol.
Bagaimanapun tanggapan bahawa makan udang akan menyebabkan paras kolesterol dalam darah meningkat berkemungkinan tidak tepat.
Kajian yang diterbitkan dalam 'American Journal of Clinical Nutrition' (AJCN) mendapati pengambilan udang boleh meningkatkan paras kolesterol baik atau HDL berbanding peningkatan kolesterol jahat (LDL) selain membantu menurunkan paras trigliserida (sejenis lemak dalam darah).
Malah, kajian berkenaan mendapati paras trigliserida menurun sebanyak 13 peratus dalam kalangan individu yang makan lebih banyak udang.

Udang memang tinggi kolesterol tetapi rendah lemak tepu
Menurut Detik Health, kira-kira 85 gram udang mengandungi 161 miligram kolesterol.
Jumlah itu sememangnya agak tinggi, tetapi perkara penting yang perlu difahami ialah perbezaan antara kolesterol daripada makanan dengan lemak tepu.
Ramai yang tidak tahu bahawa udang hampir tidak mengandungi lemak tepu.
Berdasarkan 'Medical News Today 2025', lemak tepu merupakan antara faktor yang paling meningkatkan kolesterol jahat dalam darah.
Justeru, walaupun udang mengandungi kolesterol tinggi ia tidak semestinya memberikan kesan yang sama terhadap paras kolesterol dalam darah bagi setiap individu.
Memetik detik health, hanya kira-kira satu perempat daripada populasi dunia yang sensitif terhadap kolesterol daripada makanan.
Bagi kebanyakan orang, kolesterol yang diperoleh melalui makanan tidak memberikan kesan besar terhadap paras kolesterol dalam tubuh.
Kesan terhadap kesihatan jantung?
Kajian AJCN mendapati individu yang mengambil lebih banyak udang menunjukkan peningkatan HDL yang lebih tinggi berbanding LDL.
Nisbah kolesterol juga menjadi lebih baik manakala paras trigliserida mencatatkan penurunan sebanyak 13 peratus.
Kajian 'Springer Nature' pada 2024 menunjukkan udang mempunyai risiko yang sangat rendah untuk menyebabkan darah beku dan plak dalam salur darah selain baik untuk kesihatan jantung.

Mengandungi astaxanthin, selenium dan protein
Udang bukan sekadar sumber protein namun ia turut mengandungi astaxanthin iaitu pigmen yang memberikan warna merah jingga pada udang.
Bahan ini merupakan antioksidan yang dikatakan 6,000 kali lebih kuat daripada vitamin C dan membantu melindungi LDL daripada proses pengoksidaan yang menjadi antara penyebab utama penyakit jantung.
Dalam 85 gram udang, ia turut membekalkan kira-kira 48 peratus nilai harian (DV) selenium dan 18 gram protein dengan hanya sekitar 84 kalori.
MENARIK DIBACA: Rumah tiada bau kucing lepas DIY pewangi natural, rebus 6 bahan dapur selesai masalah!
MENARIK DIBACA: Pergi pasar raya, lelaki terkejut lihat harga buah dari Jepun! Persoal keistimewaan, siapa selalu beli
Udang juga merupakan antara sumber iodin yang baik selain mengandungi zat besi, zink, magnesium, fosforus dan kalium yang berperanan dalam pelbagai fungsi tubuh.
Malah udang juga mengandungi asid lemak omega-3 dan antioksidan astaxanthin yang dikaitkan dengan pelbagai manfaat kepada tubuh.
Cara masak juga penting
Walaupun udang mempunyai pelbagai khasiat, cara ia dimasak juga perlu diberi perhatian.
Udang yang direbus, dikukus atau dipanggang merupakan pilihan yang lebih sihat berbanding menggorengnya menggunakan banyak minyak atau mencampurkannya dengan bahan tinggi lemak.
Antara padanan yang lebih baik ialah lemon dan bawang putih.
Lebih baik mengelakkan penggunaan sos krim, mayonis dan mentega secara berlebihan kerana kandungan lemak tepu boleh menjejaskan kesihatan jantung.
Jadi boleh makan udang atau tak?
Jawapannya boleh tetapi perlu dimakan secara sederhana.
Udang sememangnya mengandungi kolesterol yang agak tinggi iaitu sekitar 161 miligram bagi setiap 85 gram.
Bagaimanapun, kandungan lemak tepunya pula hampir sifar dan kajian yang diberikan menunjukkan pengambilan udang boleh meningkatkan HDL, memperbaiki nisbah kolesterol serta menurunkan trigliserida.
Panduan 'The 2020-2025 Dietary Guidelines for Americans' pula mengesyorkan orang dewasa mengambil lapan auns makanan laut setiap minggu.
Selain jumlah yang dimakan, pastikan udang yang diambil segar dan dimasak sehingga sempurna.