Rahsia telur dadar kedai Thai enak lain macam, padahal goreng 'kosong' je!
TELUR dadar antara menu ringkas yang digemari ramai, lebih-lebih lagi apabila makan di restoran masakan Thailand.
Tanpa bawang atau bahan tambahan lain, rasanya cukup sedap sampai ramai tertanya-tanya rahsia untuk menghasilkan telur dadar ala kedai Thai.
Teksturnya pula rangup di luar dan lembut di dalam, memang padu dimakan dengan nasi putih panas!

Menerusi hantaran di Threads, seorang pengguna tampil bertanyakan bahan yang biasa digunakan untuk menghasilkan telur dadar seperti di kedai tomyam Thailand.
"Kalau masak telur dadar, selain garam dan bawang, biasanya orang tambah apa lagi? Kenapa telur dadar kedai tomyam sedap walaupun kosong je?" soalnya.
Hantaran itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang turut berkongsi petua masing-masing untuk menghasilkan telur dadar ala Thai.
MENARIK DIBACA: Jangan panik minyak habis, ini petua masak telur dadar guna daun pisang
MENARIK DIBACA: Telur dadar kedai Thai memang sedap lain macam, bancuhan bersama air soda dan kicap bukit rahsianya
Mungkin ramai pernah mendengar petua meletakkan mayonis untuk menyedapkan telur dadar tetapi terdapat dakwaan bahawa sos ikan adalah rahsia sebenar.
"Sis jangan percaya mayonis-mayonis tu. Itu mungkin cara sedap tekak Melayu. Tapi nak rasa kedai Mek Kelate dan kedai Thai, sos ikan atau kicap sotong satu sudu kecil. Ajinomoto atau Maggi Cukup Rasa dua hingga tiga cubit," kongsi seorang netizen.
Selain sos ikan dan kicap sotong, ada juga yang mencadangkan penggunaan tepung jagung dan sedikit perahan limau kasturi.

"Saya tengok resipi omelette Thai style kat TikTok. Letak air, tepung jagung, sos ikan, perah limau kasturi lepas itu goreng garing. Sedap, macam kedai Thai," komen seorang pengguna.
Bagaimanapun, bukan bahan-bahan sahaja yang memainkan peranan kerana teknik menggoreng juga penting untuk mendapatkan telur dadar rangup dan mengembang cantik.
Menurut seorang netizen, telur perlu dipukul sehingga berbuih sebelum digoreng di dalam minyak panas.
"Kacau sampai buih, tuang dalam minyak panas-panas. Sebiji rasa telur kedai tomyam tu. Tak payah bawang pun dah sedap," kongsinya.