Pemilik kesal geng Gen Z penuhkan kafe, berapa kerat je 'order' minuman! Tak hormat polisi, tiada 'common sense'
MENGURUSKAN perniagaan makanan dan minuman bukanlah tugas mudah, lebih-lebih lagi apabila terpaksa berdepan pelanggan yang tidak beretika.
Seorang pemilik kafe meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap segelintir pelanggan yang datang secara berkumpulan ke premisnya tetapi hanya beberapa orang sahaja memesan makanan.
Menerusi perkongsian di Threads, dia berkata sikap sebegitu bukan sahaja menjejaskan perniagaan, malah turut menyebabkan pelanggan lain berasa kurang selesa kerana kurang tempat duduk.
“Kepada adik-adik Gen-Z yang dikasihi, cubalah menjadi seorang yang budiman.

“Besar sungguh hati kami tengok adik-adik datang ramai-ramai ke kafe kami dengan harapan semua datang membeli, disebabkan polisi kami ‘one drink per person’.
“17 orang datang tapi yang order tak sampai separuh. Awak ambil hampir semua ruang sampai customer lain datang dan patah balik sebab tiada tempat,” luahnya.
Lebih mengecewakan, ada antara mereka turut melakukan sesi penggambaran di dalam premis tanpa meminta kebenaran terlebih dahulu daripada pihak kafe.
“Tak cukup dengan itu, adik-adik buat shooting pula tanpa meminta sebarang keizinan. Ini sangat mengecewakan bagi peniaga kecil macam kami,” ujarnya.
MENARIK DIBACA: Kafe tolak pelanggan muka 'ketat', selagi tak senyum tak dibenarkan masuk
MENARIK DIBACA: Bekas pesakit kanser tegur kesilapan staf kafe panaskan makanan dalam 'microwave', kecewa respons diterima
Jelas individu itu lagi, pihaknya sudah memperkenalkan polisi setiap pelanggan perlu membeli sekurang-kurangnya satu minuman, malah notis turut dipaparkan di pintu masuk premis.
Bagaimanapun dia mengakui tidak mahu terlalu bertegas kerana bimbang menjejaskan suasana harmoni premis dan pengalaman pelanggan lain.
“Depan pintu pun ada tulis. Kami tak nak terlalu menekan-nekan sebab nanti daripada mood happy semua jadi moody dan mendatangkan bad review pula kepada kami.
“Tapi macam mana pun, ini adalah polisi kafe kami. So sorry kalau tak berkenan di hati,” jelasnya lagi.

Di ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan tindakan pemilik kafe tersebut dan menyifatkan polisi berkenaan sebagai sesuatu yang wajar dilakukan.
“Terima kasih kerana berani menetapkan polisi ini. Kedai anda, peraturan anda. Orang mungkin tidak selalu bersetuju, tetapi batasan memang perlu ada.
“Kalau tak ada duit, lepak mamak je. Nak shooting pun buat dekat mamak, mudah. Apa pun teruskan dengan polisi itu. Ini perniagaan, bukan pusat kebajikan.
“Datang bertiga, order satu matcha latte, lepas tu masing-masing keluarkan telefon ambil gambar sana sini dalam kafe," antara komen netizen.