Wajib makan roti lepyoshka jika ke Uzbekistan... Tinggi nilai falsafah, dianggap roti paling cantik di dunia
SEPERTI mana keindahan ukiran pada dinding bangunan, roti tradisional Uzbekistan dikenali sebagai 'non' atau lepyoshka ini bukan sahaja memiliki rasa yang enak, tetapi juga corak unik.
Tidak hairanlah, roti leper dan berbentuk bulat ini dikatakan sebagai roti paling cantik di dunia.
Dibakar di dalam ketuhar tanah liat yang dipanggil 'tandir' (tandoor), roti ini menjadi antara hidangan kebanggaan masyarakat di Uzbekistan dan sebahagian wilayah lain di Kyrgyztan dan Tajikistan.

Jika berkunjung ke negara tersebut, tidak sah jika tidak mencuba sendiri keenakan lepyoshka yang menjadi makanan ruji penting dalam kehidupan seharian penduduk di sana.
Selain sedap dan mengenyangkan, proses menghasilkan roti lepyoshka yang dihasilkan dengan tepung gandum ini juga berkait rapat dengan nilai kesenian yang tinggi.
Lepyoshka bukan sekadar roti, tetapi turut melambangkan nilai budaya dan sejarah bangsa masyarakat Uzbekistan.
Menurut seorang penjual lepyoshka, Sanober Majidova, bentuk dan corak yang ada pada roti ini diinspirasikan daripada kehangatan dan tenaga dari matahari.
MENARIK DIBACA: Pertama kali 'dating', pemuda geram kenalan wanita 'order' macam-macam! Anggap tiada 'common sense'
MENARIK DIBACA: Bekas cef peribadi dedah diet, menu harian Ronaldo! Sukar orang biasa nak ikut
"Matahari menjadi sumber tenaga dalam budaya masyarakat kami.
"Sama seperti roti lepyoshka yang menjadi makanan ruji oleh orang Uzbekistan," katanya.
Corak yang timbul di tengah-tengah roti Uzbekistan bukan sekadar hiasan, tetapi mempunyai makna budaya dan sering mewakili perpaduan keluarga dan kemakmuran.

Uniknya lagi, roti lepyoshka dengan tekstur kenyal ini memiliki nilai falsafah yang tinggi mengikut kepercayaan bagi masyarakat setempat.
Menurut kepercayaan mereka, bayi yang baru dilahirkan harus diletakkan roti lepyoshka di bawah kepalanya sebagai simbol mendoakan agar dipanjangkan usia.
Untuk kanak-kanak pula, lepyoshka akan diletakkan di antara kaki mereka sebagai simbolik agar perjalanan mereka diberkati.
Lepyoshka bukan sekadar makanan, tetapi dianggap suci dalam budaya Uzbekistan.
Ia sering dihidangkan dalam setiap hidangan, daripada makan harian hingga ke acara besar seperti perkahwinan.