Ada sebab orang Kelantan tak makan ikan kekacang, sumpahan dan mitos di sebaliknya buat ramai takut
PERNAH dengar tentang ikan kekacang? Rupa bentuknya kelihatan sama seperti spesies ikan pada lazimnya, namun memiliki muncung yang agak panjang.
Namun di sebalik nama ikan tersebut, tersimpan satu kisah mitos dikaitkan dengan pantang larang untuk masyarakat Kelantan yang disampaikan secara turun-temurun.
Masyarakat Kelantan percaya bahawa ikan kekacang atau juga disebut barracuda menyimpan cerita misteri yang diwarisi sejak zaman-berzaman.

Mengikut cerita, ikan kekacang dikatakan tidak boleh dimakan oleh orang Kelantan terutama mereka yang memiliki keturunan Wan dan Nik kerana boleh mengakibatkan mereka ditimpa musibah seperti penyakit kulit.
Walaupun kisah di sebalik ikan kekacang itu cuma dianggap cerita mitos, namun sehingga kini masih terdapat masyarakat Kelantan percaya tentang pantang larang tersebut dan mengelak daripada makan ikan kekacang sehingga ke hari ini.
Dari manakah datangnya cerita tentang larangan memakan ikan kekacang dalam kalangan masyarakat di Kelantan?
MENARIK DIBACA: Nampak senang resipi lemak labu Mama Tini, tahap ‘beginner’ boleh buat sambil pejam mata!
MENARIK DIBACA: [V] Gulai rebah bangun ayam memikat hati, Chef Wan angkat 6 juadah semakin dilupakan sempena Hari Kebangsaan
Mengikut kisah, larangan memakan ikan kekacang berpunca daripada seorang tokoh ulama besar bersama Syed Hussein Jamadil Kubra yang dikatakan seorang pendakwah berketurunan Rasulullah S.A.W.
Dikatakan bahawa pada suatu hari, kapalnya telah karam di laut berhampiran perairan Kelantan.
Dalam keadaan genting, tiba-tiba muncul sekumpulan ikan kekacang dan membantu menutup lubang pada kapal yang dimasuki air dan menolak kapal tersebut ke tepi pantai Kampung Laut yang terletak di Tumpat, Kelantan.

Sebagai tanda syukur dan berterima kasih, Syed Hussein telah mengeluarkan larangan untuk keturunannya memakan ikan kekacang sebagai tanda penghormatan untuk jasa ikan tersebut.
Larangan tersebut kemudiannya telah menjadi pantang larang secara turun-temurun dalam kalangan warisnya yang dikenali melalui gelaran Nik dan Wan.
Kisah lain pula melibatkan seorang tokoh bernama Tok Bakar yang juga dikenali sebagai Wan Bakar. Menurut kisah, Tok Bakar merupakan seorang tokoh berketurunan Bugis yang pernah diselamatkan oleh ikan kekacang.

Menurut cerita orang lama, Tok Bakar telah bersumpah melalui wasiat bahawa keturunannya tidak boleh makan ikan kekacang sehingga ke hari ini.
Dikatakan bahawa, mereka yang keras kepada dan memakan ikan kekacang, badan mereka akan dipenuhi luka dan gelembung darah yang sangat menyakitkan.
Malah sehingga hari ini, masyarakat Kelantan khususnya mereka yang memiliki keturunan Wan dan Nik mengelak daripada memakan ikan kekacang kerana bimbang terkena sumpahan sehingga mengakibatkan tubuh mereka dipenuhi ruam, bernanah dan gelembung darah.

Sehinggakan mereka yang sudah berhijrah ke luar kawasan masih terus menjaga pantang tersebut meskipun telah lama meninggalkan kampung halaman.
Seiring dengan kemajuan sains dan teknologi, kajian terhadap ikan kekacang yang dijalankan mendapati ikan tersebut tergolong dalam spesies ikan laut yang berisiko membawa toksin semula jadi dikenali sebagai ciguatoksin.
Kesannya, toksin tersebut boleh mengakibatkan keracunan makanan serius termasuk simptom seperti cirit-birit, muntah, rasa kebas dan gatal-gatal kulit.
Fenomena yang berlaku boleh dianggap satu kebetulan yang secara tidak langsung mempengaruhi kepercayaan orang dulu-dulu sehingga menganggap sumpahan itu adalah benar.