[V] Gulai rebah bangun ayam memikat hati, Chef Wan angkat 6 juadah semakin dilupakan sempena Hari Kebangsaan
BERSEMPENA Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, De.Wan 1958 by Chef Wan hadir dengan tawaran menu istimewa iaitu Soul of Malaysia, The Forgotten Recipe Book khusus untuk pelanggan yang mahu merasai sendiri keenakan masakan tradisi Melayu yang semakin dilupakan.
Dalam tawaran tersebut, terdapat enam menu istimewa mewakili enam buah negeri di Malaysia yang pastinya akan menggamit memori dan cetusan rasa.
Antara menu tersebut adalah Udang Galah Belimbing Buluh (Perak), Botok-Botok Ikan (Johor), Asam Pedas Umbut Keladi (Melaka), Gulai Rebah Bangun Ayam (Terengganu), Sotong Taik Minyak (Kelantan), Opor Daging Pekan (Pahang) dan Keliat Labu (Pahang).
Menurut Chef Faiz dari De.Wan 1958 by Chef Wan, promosi Soul of Malaysia, The Forgotten Recipe Book telah dijalankan sejak 4 Ogos lalu sehingga 31 Oktober 2025.

"Menu-menu ditawarkan dipilih sendiri oleh Chef Wan dan menjadi antara juadah kegemaran beliau.
"Sejak dilancarkan pada 4 Ogos lalu, sambutan yang kami terima amat menggalakkan.
"Alhamdulillah, kami juga menerima banyak maklum balas positif daripada pelanggan yang menyukai menu-menu yang disediakan," katanya ketika ditemui Kuali.

Bercakap tentang menu yang menjadi kegemaran ramai, ujar Chef Faiz, Gulai Rebah Bangun Ayam merupakan antara hidangan popular yang digemari pelanggan termasuk dirinya sendiri.
"Antara juadah yang digemari bukan sahaja pelanggan, tetapi juga saya sendiri ialah Gulai Rebah Bangun Ayam.
"Kuahnya memiliki tekstur berkrim. Malah, hidangan ini boleh membawa kita mengimbau kembali aroma masakan kampung yang memikat selera," katanya.
MENARIK DIBACA: Rasanya mungkin hambar... Buah naga pilihan terbaik buat pesakit diabetes, turun risiko penyakit kronik
MENARIK DIBACA: Ada berani nak cuba nasi beriani landak? Nasi lemak unta pun ada di Marican Bistro
Kata Chef Faiz, setiap menu yang ditawarkan adalah mengikut resipi asli masakan itu sendiri, namun diberi sentuhan khas oleh Chef Wan untuk rasa lebih autentik.
Harga setiap hidangan ditawarkan juga boleh dinilai cukup berpatutan, malah dianggap berbaloi untuk pelanggan menikmati juadah enak yang ditawarkan dengan persekitaran yang selesa dan mewah.
"Harga setiap hidangan yang kami tawarkan cukup berbaloi iaitu bermula RM32 hingga RM98.

"Dari segi portion pula, setiap menu boleh dinikmati antara tiga hingga empat orang.
Jadi saya rasa memang berbaloi untuk pelanggan menikmati sendiri hidangan yang kami sediakan bersama keluarga dan rakan-rakan," jelasnya.
Untuk pencuci mulut pula, promosi Soul of Malaysia, The Forgotten Recipe Book menawarkan hidangan manisan dari negeri Pahang iaitu Keliat Labu pada harga RM18.

Rasa labu yang dihidangkan bersama santan dan gula merah memberikan aroma dan rasa tersendiri buat penggemar manisan tradisi.
Kuali yang berpeluang merasai sendiri semua menu yang ditawarkan, ibarat telah jatuh cinta dengan setiap juadah Soul of Malaysia, The Forgotten Recipe Book.
Hidangan Udang Galah Belimbing Buluh (RM78) misalnya, rasa manis udang yang dihidangkan bersama sambal berlado begitu memikat selera.

Rasa pedas dan masam daripada potongan belimbing buluh memberi paduan rasa yang cukup menggiurkan.
Masakan Botok-Botok Ikan (RM88) juga tidak kalah enaknya. Aroma menu yang menggunakan ikanspanish mackerel itu cukup harum apabila dibakar dalam balutan daun pisang.
Rasa kerisik kelapa bersama adunan rempah lain yang digunakan cukup pekat sehingga membuatkan sesiapa sahaja terliur.

Asam Pedas Umbut Keladi (RM32) juga antara menjadi kegemaran Kuali. Rasa pedas kuah santan yang dimasak bersama serai dan halia melahirkan rasa unik dan tersendiri.
Buat pecinta masakan klasik seperti Gulai Rebah Bangun Ayam (RM48), Sotong Taik Minyak (RM78) dan Opor Daging Pekan (RM98) juga wajib anda cuba kerana tidak kalah enaknya.
Untuk pelanggan yang ingin merasai sendiri keunikan selera tradisi Soul of Malaysia, The Forgotten Recipe Book, anda boleh kunjungi De.Wan 1958 by Chef Wan yang terletak di Bangsar Shopping Centre, The LINC KL dan Bangi Resort Hotel.