Mimpi bertukar realiti... Dari content media sosial, Sid Murshid kini pemilik restoran
SENYUMAN yang tidak lekang setiap kali muncul dalam video masakan di media sosial membuatkan ramai jatuh hati dengan pempengaruh dan usahawan Sid Murshid.
Tetapi senyuman bukan punca utama ramai tertawan tetapi kagum dengan kecekapannya beraksi di dapur menyediakan pelbagai resipi menarik bersama pengikutnya.
Kini daripada membuat video resipi, Sid beralih ke dapur konvensional sebenar – melakukan anjakan berani memasuki realiti dunia kulinari penuh cabaran.
Dikenali dengan gaya penyampaian santai dan menghiburkan, Sid atau Murshid Mahmud, 32, memberanikan diri membuka kafe berkonsep unik iaitu Grey Cafe di Publika, Kuala Lumpur.

Grey Cafe bukan sekadar ruang makan, tetapi refleksi cinta Sid terhadap budaya Jepun, dipadukan dengan sentuhan masakan negara matahari terbit, Barat dan cita rasa tempatan.
Walaupun minatnya terhadap budaya Jepun tidak pernah ditonjolkan secara terbuka sebelum ini, kafe ini menjadi pentas ideal untuk dirinya berkongsi sisi peribadi lebih mendalam.
“Segalanya berlaku begitu pantas. Bermula dengan perbualan santai bersama abang saya sekitar Jun 2024.
MENARIK DIBACA: ‘ONO Specialty Coffee & Matcha’ kedai kopi ke-9 terbaik dunia, 2 lagi jenama lokal masuk senarai top 100
MENARIK DIBACA: Influencer kurus amal ‘lalapan platter’, bukti ulam-ulaman pun boleh turunkan berat badan
“Dua bulan kemudian, Grey Cafe mula beroperasi. Keputusan spontan tapi penuh makna buat saya yang sememangnya gemar memasak sejak dulu lagi,” katanya membuka bicara ketika ditemui Kuali.
Realiti cabaran perniagaan
Bagi Sid mencipta kandungan masakan dan mengendalikan perniagaan makanan dan minuman (F&B) adalah dua dunia berbeza.
“Menghasilkan video masakan, saya kawal segalanya sama ada skrip, gaya atau suntingan.
“Tapi dalam mengurus kafe, saya perlu faham pelanggan, staf, logistik, kos operasi dan yang paling mencabar adalah bagaimana untuk menarik psikologi pelanggan,” katanya jujur.

Pengalaman sebagai usahawan kafe baharu membuka mata Sid terhadap realiti dunia perniagaan dari hari kafe penuh sesak, sehinggalah saat lengang membuatkan hati gusar.
“Saya pernah alami minggu kafe sangat lengang selama hampir seminggu.
“Detik ini mengajar saya, bukan sekadar makanan yang penting, tapi emosi pelanggan ketika berada di kafe juga sangat besar impaknya.
“Emosi pelanggan yang terjaga dapat menarik minat mereka untuk terus berkunjung dan menjadi pelanggan tetap,” jelasnya sambil menarik nafas mendalam.
Saya pernah alami minggu kafe sangat lengang selama hampir seminggu.
SID MURSHID
Pemilik bersama Grey Cafe
Sid sedar, mencipta hubungan emosi dengan pelanggan adalah rahsia utama membina kesetiaan.
Layanan mesra, ruang selesa dan komunikasi yang tulus menjadi keutamaan untuk menarik hati pelanggan untuk terus datang.
“Pelanggan perlu rasa mereka dihargai. Bila mereka gembira, mereka bukan sahaja datang semula, tapi bawa kawan dan keluarga,” tambahnya.
Grey Cafe juga terbuka untuk tempahan acara dan sewaan ruang, memperluas lagi jangkauan dan keterlibatan dengan komuniti.

Kelabu bukan membosankan
Sebagai graduan Seni Bina dari Universiti Taylor’s, Sid menjadikan reka bentuk sebagai medium bercerita.
Konsep minimalis Grey Cafe berasaskan tona kelabu melambangkan kesederhanaan, ruang yang bersedia diceriakan oleh kehadiran pelanggan.
“Ramai anggap kelabu itu suram, warna membosankan. Tapi pada saya rona ini seakan kanvas kosong.
“Pelanggan yang hadir itulah warna sebenar yang menceriakan ruang ini,” ujarnya puitis.

Rindu dunia kandungan
Walaupun sibuk mengurus kafe, Sid akui hatinya masih tertaut pada dunia pembikinan video masakan.
“Sejak video pertama saya ‘Pisang Goreng Power’ tular pada 2017, dunia kandungan sangat dekat dengan saya.
“Tapi sekarang masa agak terhad dan tumpuan lebih perlu diberikan kepada kafe,” katanya yang turut mengendalikan kelas Muay Thai sekitar Lembah Klang.
Namun, itu tidak memadamkan hasratnya malah Sid kini merancang untuk menghasilkan sebuah buku resipi interaktif.

Dalam perancangan, buku itu menggabungkan pengalaman memasak, kisah pelanggan dan cabaran sebenar di sebalik dapur dialaminya.
“Buku itu bukan sekadar resipi tapi lebih kepada pengalaman dan cerita.
“Seolah-olah saya berbual dengan pembaca. Pada saya, naskah fizikal boleh dipegang lebih bermakna dari sekadar membaca skrin,” tambahnya lagi.
Sid membuktikan bahawa dengan sedikit keberanian dan kreativiti, impian mampu direalisasikan.