Makanan Malaysia tempat pertama paling lazat di Expo Gourmet Osaka
KEHEBATAN kulinari Malaysia sekali lagi mendapat pengiktirafan apabila menduduki tangga pertama menerusi tinjauan khas Expo Gourment di Expo Gourmet 2025 Osaka, Jepun.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri iaitu Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan pencapaian itu amat bermakna sekali gus menbuktikan hidangan tempatan lazat sehingga diperakui dunia.
"Malaysia nombor satu di Jepun!
"Kita selalu kata makanan Malaysia adalah hidangan paling lazat dan pendapat ini dipersetujui oleh pengunjung Expo 2025 Osaka," katanya.

Tengku Zafrul berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instagram miliknya.
Lebih membanggkan pencapaian tersebut diraih hasil daripada tinjauan oleh pengunjung yang mencuba sendiri keenakan pelbagai juadah Malaysia di pameran tersebut.
"Hidangan di Pavilion Malaysia telah dinobatkan sebagai nombor satu dalam tinjauan khas 'Expo Gourment' yang dijalankan oleh Yomiuri TV.
MENARIK DIBACA: Beras tak salah! Boleh cuba perah air limau nipis, percayalah nasi tak cepat basi
MENARIK DIBACA: Bosan asyik makan bihun, mak-mak boleh cuba resipi misua goreng
"Pencapaian ini amat bermakna kerana tinjauan ini dibuat dalam kalangan pemegang pas musim Expo 2025.
"Jadi mereka ini memang selalu menikmati hidangan di Expo 2025, bukan sekadar pelawat yang datang sekali sahaja," ujarnya.
Tambah Tengku Zafrul, kejayaan tersebut sekali gus membuktikan keunikan dan kehebatan masakan serta hospitaliti Malaysia di mata dunia.

Pada masa sama, Tengku Zafrul turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh pasukan yang terlibat di Expo 2025 atas usaha keras mereka sehingga berjaya membanggakan negara.
"Ini adalah bukti keunikan dan kehebatan masakan serta hospitaliti Malaysia di mata dunia.
"Tahniah kepada seluruh pasukan yang terlibat di Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka atas usaha keras anda!" ujarnya.
Hasil tinjauan yang dikongsikan menunjukkan Malaysia berada di posisi nombor satu diikuti Australia di tangga kedua, Arab Saudi (ketiga), Jerman (keempat) dan Perancis (kelima).