'Rupa' pucat, sekali rasa terus ketagih! Pemilik kedai nasi Padang dedah keunikan ayam pop
AYAM pop menjadi salah satu sajian istimewa masakan Minang kerana keunikan rupa dan rasa tersendiri.
Berbeza dengan rendang yang lebih dekat dengan cita rasa orang Malaysia, ayam pop kini bagaimanapun semakin mencuri perhatian lebih-lebih lagi selepas resipi autentik dari Sumatera Barat, Indonesia itu diajar oleh pempengaruh Khairul Aming.
Pengusaha dan pemilik restoran Nasi Padang Ampera Raya iaitu Ainun Rochman berkongsi tentang rahsia hidangan ayam pop yang tidak diketahui ramai.

Dalam hantaran tersebut, Ainun berpandangan ayam pop sebenarnya jauh lebih enak berbanding rendang tidak kira sama ada ayam atau daging.
"Aku nak kongsikan satu kebenaran yang mungkin peminat nasi Padang belum tahu.
"Ayam pop sebenarnya lagi sedap daripada rendang daging atau menu lainnya.
"Kalau belum rasa lagi ayam pop, sebenarnya korang dah tertinggal menu yang boleh buatkan korang ketagih," kongsinya dalam Threads.
MENARIK DIBACA: Tindakan beri gelandangan tulang ayam tiada hati perut, influencer perjelas bukan hina tapi eksperimen sosial
MENARIK DIBACA: Masih terasa keenakan bihun goreng makcik kantin, rupanya ini rahsia buat ramai terkenang-kenang
Berkongsi sejarah menu itu, Ainun memberitahu ayam pop sebenarnya berasal dari Bukit Tinggi yang merupakan salah satu daerah di Sumatera Barat.
"Lebih tepat lagi, menu ini dicipta oleh pemilik Rumah Makan Padang Family pada tahun 1947.
"Apa yang membuatkan hidangan ini menjadi istimewa ialah cara memasaknya. Ayam direbus menggunakan air kelapa muda dan rempah sehingga meresap.
"Untuk 'mengunci' rasa perapan, ayam digoreng seketika. Proses inilah yang menjadikan warnanya pucat, namun memiliki rasa yang kuat sehingga ke tulang," kongsinya lagi.

Ainun turut mendedahkan tiga unusr yang menjadikan hidangan ayam pop juadah istimewa.
"Tiga unsur yang menjadikan ayam pop sebagai hidangan istimewa kerana tekstur ayamnya lembut dan berjus.
"Sambal ayam pop memiliki rasa yang unik dan kuah putihnya pula memiliki sifat umami dengan rasa sedikit manis.
"Gabungan tiga unsur ini menjadikan ayam pop memiliki rasa yang padu dan jarang ditemui pada menu masakan Padang yang lain," jelasnya.

Perkongsiannya turut menarik perhatian pengguna Threads lain yang turut mengakui keenakan dan keistimewaan ayam pop.
"Betul, saya pernah makan sehingga lapan ketul ayam pop sekali gus. Memang sedap!
"Salah satu menu untuk orang yang tidak makan pedas seperti saya," antara komen netizen.