Masak nasi memang tak susah, tapi ikut petua ini agar hasilnya lembut dan gebu
MASAK nasi mungkin tugas paling mudah dan asas tapi realitinya ia tidak semudah disangka.
Nasi mentah atau hangit situasi biasa - bukan sahaja menjejaskan rasa dan tekstur nasi malah merosakkan keseluruhan hidangan yang disediakan.
Sama ada anda memasak nasi di atas dapur gas atau periuk elektrik, teknik dan perhatian terhadap beberapa perkara asas sangat penting.
Kuali kongsikan beberapa tip ringkas tetapi berkesan untuk membantu anda mengelakkan nasi mentah atau hangit agar hasilnya sentiasa lembut, gebu dan sempurna dimasak.

1. Sukat air dengan betul
Gunakan nisbah air yang betul bergantung kepada jenis beras contohnya:
Beras biasa: 1 cawan beras : 1½ cawan air
Beras basmati: 1 cawan beras : 1¼ cawan air
Jika terlalu sedikit air boleh menyebabkan nasi menjadi mentah dan terlalu banyak pula boleh menyebabkan nasi lembik dan mudah hangit.
MENARIK DIBACA: Roti ‘expired’ jangan dibuang, penyelamat serap bau busuk peti sejuk
MENARIK DIBACA: Tak perlu ke Penang... Jom serbu bazar di Moxy Putrajaya, char kuey teow dan pasembor pun ada!

2. Bilas beras hingga bersih
Bilas beras 2–3 kali hingga air kelihatan jernih. Ini membantu membuang lebihan kanji yang boleh menyebabkan nasi melekat dan cepat hangit.

3. Guna api sederhana atau mod 'cook' bagi periuk elektrik
Jika menggunakan dapur gas, masak dengan api sederhana hingga air hampir kering kemudian kecilkan api untuk mengelak hangit. Jika guna periuk elektrik, pastikan periuk dalam keadaan bersih dan kering sebelum digunakan.

4. Lapik penutup dengan kain jika guna periuk biasa
Kain akan menyerap wap berlebihan dan elak air menitik semula ke dalam nasi, sekali gus elakkan nasi mentah atau lembik di bahagian atas.

5. Jangan buka penutup terlalu awal
Biarkan nasi masak sepenuhnya sebelum dibuka. Jika dibuka terlalu awal, wap keluar dan boleh menyebabkan nasi tidak masak sekata.

6. Biarkan nasi 'rehat' selepas masak
Setelah nasi masak, biarkan ia 'rehat' selama 10–15 minit sebelum dikacau. Ini membantu tekstur nasi menjadi lebih elok dan tidak hancur.