Anak Malaysia rangkul gelaran naib juara Kejohanan Barista Dunia 2026
BARISTA Malaysia, Tan Shing Win lakar kejayaan di pentas antarabangsa apabila muncul naib juara World Barista Championship 2026 (Kejohanan Barista Dunia) di Panama City, Panama yang berlangsung dari 22 hingga 25 Oktober lalu.
Pencapaian itu adalah rekod terbaik Malaysia dalam pertandingan berprestij sekali gus mengatasi pencapaian Jason Loo yang menduduki tempat keempat pada edisi 2025.
Shing Win yang juga juara Barista Malaysia 2025 berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir selepas melepasi peringkat awal dan separuh akhir sebelum bersaing dengan lima peserta lain dari Australia, China, Kanada, Emiriah Arab Bersatu dan Thailand.
Menerusi persembahan selama 15 minit, barista Shing Win mengetengahkan kepentingan tahap kelembapan dalam menentukan kualiti dan profil rasa kopi.
Dia menjelaskan bagaimana kelembapan memainkan peranan penting sepanjang proses penghasilan kopi bermula dari pemprosesan biji kopi di ladang, pengeringan sehinggalah kepada proses ekstraksi ketika penyediaan minuman.
Shing Win memilih kopi Geisha yang diproses menggunakan kaedah basuhan tradisional daripada pengeluar kopi istimewa, El Pergamino di Panama.
Pemilihan tersebut mencerminkan pendekatannya yang mementingkan setiap peringkat penghasilan kopi bagi memastikan potensi rasa sebenar biji kopi dapat ditonjolkan dalam setiap cawan.

MENARIK DIBACA: 'Pancake' udang sayur buka selera anak, selesai masalah si kecil 'susah' makan!
MENARIK DIBACA: Cuma guna gula... Ini cara simpan udang kekal segar berbulan-bulan, rasa tak terjejas
Shing Win kini terlibat dengan perniagaan bersama One Half Roastery dan Tri-Up Coffee SEA dengan tanggungjawab merangkumi pembangunan perniagaan, penganjuran acara, mendapatkan sumber biji kopi mentah dan mengembangkan pasaran.
Kejayaan itu bukan sahaja menjadi pencapaian peribadinya tetapi juga dapat mengharumkan nama Malaysia dalam industri kopi antarabangsa.
Kejohanan ini menyaksikan barista China, Pan Wei dinobat sebagai juara dan tempat ketiga dimenangi Frederick Ruben dari Emiriah Arab Bersatu.
Pencapaian Shing Win membuktikan bahawa bakat barista tempatan mampu bersaing dengan peserta terbaik dunia selain mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam arena kopi istimewa antarabangsa.