Strawberi Cameron Highlands cepat rosak - "Normal atau salah cara simpan?"
JAUH-jauh kirim buah strawberi dari Cameron Highlands, tetapi apabila sampai keadaan buah mengecewakan.
Itulah pengalaman seorang pengguna Threads yang meluahkan rasa terkilan apabila buah strawberi yang dibelinya lembik dan berair dalam tempoh dua hari.
Menurut wanita itu, dia terus menyimpannya di dalam peti sejuk namun terkejut apabila mendapati kebanyakan buah sudah rosak.

“Normal ke beli strawberi hari Khamis, balik terus letak dalam peti sejuk. Hari ini Sabtu, buka bekas penuh air. Hampir 90 peratus dah rosak. Normal ke atau salah cara simpan?” soalnya.
Bersama kapsen, individu itu berkongsi keadaan buah tersebut yang kelihatan hancur dalam bungkusan.
Dalam pada itu, dia turut tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada cara penyimpanan yang kurang tepat atau buah yang dibeli berkualiti rendah.
MENARIK DIBACA: Mudah je buat 'strawberry Brazilian lemonade', minum masa cuaca panas terus segar tekak
MENARIK DIBACA: Ada sebab bawang dan kentang tak boleh disimpan bersama, ikut tip ini elak cepat rosak
Di ruangan komen, rata-rata netizen berkongsi tip menyimpan strawberi dalam peti sejuk beku supaya tahan lebih lama dan tidak cepat berair.
“Biasanya saya pindahkan ke bekas lain dan lapik tisu pada setiap lapisan. Jangan basuh dahulu sebelum disimpan. Setakat ini, seminggu pun buah masih elok.
“Letak dalam bekas kedap udara dan lapik tisu pada setiap lapisan. Pastikan tangan bersih dan pegang pada bahagian daun supaya buah tidak mudah rosak,” antara komen netizen.

Bagaimanapun, segelintir netizen berpendapat keadaan itu mungkin berpunca daripada kualiti strawberi yang dijual oleh sesetengah personal shopper dari Cameron Highlands.
Malah, ada yang menyarankan buah yang rosak tidak dibuang sebaliknya dijadikan jem.
“Kalau beli strawberi melalui personal shopper dari Cameron Highlands, kadangkala selepas sehari dua buah sudah rosak. Terpaksa masak jadi jem atau kordial,” komen seorang pengguna.