Mekdi tunai permintaan peminat, sos cili kegemaran ramai kini dalam botol
PEMINAT Mekdi kini boleh membawa pulang sebotol sos cili Mekdi pada harga RM10 menerusi pembelian McValue Meal di semua cawangan McDonald’s termasuk melalui pesanan penghantaran.
Tawaran istimewa ini bermula 22 Oktober hingga 4 November 2026 tetapi hanya terhad kepada 100,000 botol di seluruh negara selagi stok masih ada.
Lebih menarik, Malaysia menjadi pasaran McDonald’s pertama di dunia yang menawarkan sos cili Mekdi dalam botol iaitu persamaan dengan 44 sos paket biasa.
Idea ini tercetus menerusi perkongsian peminat di media sosial malah ada yang sanggup membawa paket sos cili Mekdi ketika melancong ke luar negara.
Melihat permintaan tersebut, Mekdi akhirnya memperkenalkan sos kegemaran ramai itu dalam botol untuk tempoh terhad.

MENARIK DIBACA: Influencer sering buat 'content' makan ekstrem maut, sempat pesan kesihatan penting daripada wang
MENARIK DIBACA: Sajian istimewa di hati... Wanita kongsi cara buat nasi ulam, aroma harum sukar nak tolak
Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Chin Mei Lee berkata perkongsian dan permintaan peminat menjadi inspirasi kepada pengenalan produk istimewa itu buat pertama kali di dunia.
“Melalui tawaran untuk tempoh terhad ini, kami mahu meraikan cara tersendiri rakyat Malaysia menikmati sos cili Mekdi sambil mengucapkan terima kasih atas sokongan dan perkongsian momen mereka bersama Mekdi selama ini,” katanya.
McDonald’s adalah rangkaian global perkhidmatan makanan melibatkan kira-kira 36,000 cawangan restoran di seluruh dunia dengan pelanggan lebih 70 juta sehari di lebih 100 buah negara.
Sepanjang 44 tahun di Malaysia, McDonald’s memberi perkhidmatan kepada lebih 12.6 juta pelanggan sebulan di lebih 380 restoran di seluruh negara.
Jadi, buat peminat sos cili Mekdi, inilah masanya untuk membawa pulang sos kegemaran ramai dalam botol!