Jenama 'lejen' Lee Biscuits umum tutup kilang selepas 92 tahun beroperasi
SELEPAS 92 tahun menjadi sebahagian daripada hidup masyarakat Malaysia, Lee Biscuits Malaysia Sdn Bhd mengumumkan bakal menghentikan operasi pengeluaran di kilang yang terletak di Pontian, Johor, menjelang akhir bulan ini.
Pemberhentian operasi pengeluaran itu sekali gus menandakan berakhirnya zaman sebuah jenama makanan ringan yang telah menemani banyak generasi sejak ditubuhkan pada 1932.
Memetik laporan akhbar China Press, keputusan yang dibuat itu merupakan sebahagian daripada langkah penstrukturan semula kumpulan induk yang bakal keluar daripada perniagaan pembuatan makanan ringan.

Keputusan yang dibuat itu bertujuan untuk menyatukan aset mereka, selain memberi tumpuan penuh kepada perniagaan teras sedia ada membabitkan operasi dalam sektor perladangan getah.
Difahamkan, para pembekal dan pelanggan mula menerima notis mengenai pemberhentian pengeluaran sejak bulan lalu, manakala pihak kilang kini dilaporkan dalam proses untuk memberhentikan pekerja mereka secara berperingkat.
Berita mengenai penutupan kilang tersebut turut disahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pekan Nanas, Tan Eng Meng sewaktu dihubungi media.
MENARIK DIBACA: [V] Biskut dadu coklat tabur snek 'homemade' comel untuk si kecil
MENARIK DIBACA: Gelabah dulu, periksa info kemudian! Wanita hampir buang stok biskut sah ada sijil halal
Langkah yang diputuskan ini juga merekodkan fasiliti pemprosesan makanan kedua di bawah Kumpulan Lee di Johor yang terpaksa ditutup dalam tempoh tiga tahun.
Pada November 2023, kumpulan berkenaan telah menutup kilang pengetinan nanas ikonik mereka, Lee Pineapple di Skudai, berikutan peralihan fokus perniagaan tanah dan perladangan mereka ke arah penanaman kelapa sawit.
Lee Biscuits, yang turut dikenali sebagai Nam Lee diasaskan oleh Lee Kong Chian.
Jenama ini terkenal dengan produk seperti biskut Marie, biskut kraker masin, pastri berperisa pisang dan biskut 'iced gem'.
Jenama ini pada mulanya diasaskan di Singapura sebelum pengeluarannya dipindahkan ke Tampoi, Johor Bahru, pada 1955 dan kemudian ke Pontian pada 2005.