Ulat hidup jadi inti 'egg waffle', ramai sanggup beratur panjang sebab tinggi protein
SEKALI pandang sajian ini nampak seperti wafel telur Hong Kong biasa, tetapi mengetahui bahan yang digunakan mungkin membuatkan ramai berfikir dua kali sebelum mencubanya.
Menerusi perkongsian video di media sosial, wafel telur cacing beras ini mencuri perhatian netizen di China.
Melihat haiwan itu masih bergerak-gerak saat dimasukkan ke dalam acuan sudah cukup membuatkan sesetengah orang kembang tekak.

Bukan sekadar cacing biasa, haiwan eksotik dikenali sebagai hechong itu adalah sejenis binatang laut yang sudah lama menjadi sebahagian daripada tradisi masakan masyarakat Guangdong, China
Menerusi video tular itu, penjual mendakwa hechong kaya dengan protein sehingga ramai pelanggan sanggup beratur panjang untuk mencuba hidangan berkenaan.
"Kerana ia (hechong) kaya dengan protein, orang ramai sanggup datang banyak kali untuk menikmatinya," ujarnya.
Selain protein, hechong turut mengandungi asid amino serta mineral seperti zat besi dan selenium.
MENARIK DIBACA: Hidup influencer ini berubah selepas makan sushi, separuh wajah lumpuh dijangkiti salmonella
MENARIK DIBACA: Kecoh wanita bertudung makan ulat sagu hidup-hidup, ini penjelasan mufti
Bagi wafel telur Hong Kong pula, snek ini biasanya mempunyai bahagian luar yang sedikit rangup, manakala bahagian dalamnya lembut dengan rasa manis berasaskan telur.
Penambahan hechong memberikan kelainan pada hidangan ini, dengan tekstur lembut serta rasa berlemak dan umami.
Selain dijadikan inti wafel seperti dalam video tular itu, hechong turut digunakan dalam masakan tradisional lain, antaranya dimasak bersama telur, digoreng atau dijadikan sup.