Ambil tahu bahan sebelum makan kek red velvet, mungkin guna pewarna serangga cochineal
DI sebalik warna merah pada kek red velvet, mungkin ramai tidak tahu bahawa pewarna digunakan mungkin berasal daripada serangga kecil dikenali sebagai cochineal.
Menerusi hantaran di Threads, seorang pengguna berkongsi dia tidak lagi makan kek red velvet selepas mengetahui tentang sumber pewarna tersebut.
“Kenapa saya tak makan red velvet cake?
“Sebab saya tahu ada pewarna merah yang dihasilkan daripada serangga cochineal, dikenali sebagai carmine (E120),” kongsinya.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa bukan semua kek red velvet menggunakan pewarna daripada serangga berkenaan.
Tambahnya, ada juga pengusaha yang memilih bahan lain untuk mendapatkan warna merah pada kek mereka.
“Cantik memang cantik, tapi saya lebih suka tahu apa yang masuk dalam badan saya.
“Check ingredients, don’t just follow the trend!” ujarnya.
MENARIK DIBACA: Ramai tak suka sebab ada rasa tanah, ketahui khasiat ubi bit merah
MENARIK DIBACA: Biskut coklat popular dipercayai tak halal, pewarna berasal dari kumbang cochineal
Di ruangan komen, beberapa pengusaha kek red velvet berkongsi bahawa mereka menggunakan ubi bit atau 'beetroot' sebagai alternatif kepada pewarna makanan.
“I buat red velvet juga tapi guna ubi bit. Selagi boleh elak pewarna memang I akan elak,” tulis seorang pengguna.
Dalam pada itu, penggunaan pewarna 'carmine' daripada serangga cochineal turut menjadi perhatian dari sudut kehalalannya.
Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, penggunaan pewarna daripada serangga tersebut dalam makanan dan minuman tidak dibenarkan berdasarkan pandangan jumhur fuqaha yang mengharamkannya kerana tergolong dalam kategori al-khabaith, iaitu benda yang dianggap jijik.

Pandangan ini selari dengan pendirian mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali manakala mazhab Maliki mempunyai pandangan berbeza mengenai hukum makan serangga.
Sebagai info, cochineal ialah serangga kecil berbadan lembut, berbentuk bujur dan tidak bersayap yang biasanya hidup berkelompok pada pokok kaktus.
Serangga ini menghasilkan asid karminik yang boleh diekstrak daripada badannya sebelum diproses bersama garam aluminium atau kalsium untuk menghasilkan pewarna carmine.
Pewarna semula jadi ini menghasilkan warna merah, merah jambu dan oren, malah sudah lama digunakan dalam pelbagai produk termasuk makanan, minuman dan kosmetik seperti gincu.