Influencer sering buat 'content' makan ekstrem maut, sempat pesan kesihatan penting daripada wang
PASTI ramai dalam kalangan kita minat dengan video mukbang, malah ada yang sanggup meluangkan banyak masa menonton pencipta kandungan menikmati makanan dalam kuantiti banyak.
Bagi sesetengah pencipta kandungan, makan dalam jumlah yang banyak menjadi sebahagian daripada rutin mereka untuk menghasilkan kandungan dan menghiburkan pengikut.
Bagaimanapun tekanan untuk terus menghasilkan video sebegitu juga boleh memberi kesan kepada fizikal dan kesihatan.
Seorang selebriti mukbang China, Ganfan Yingying, meninggal dunia pada usia 24 tahun dipercayai akibat tabiat makan secara ekstrem yang menyebabkan komplikasi kesihatan serius.
Selebriti makanan popular itu yang lebih dikenali sebagai Chen Ziyi mempunyai kira-kira 1.2 juta pengikut di pelbagai platform media sosial disahkan kematiannya pada 17 Ogos lalu oleh ibu bapanya kepada pihak media.
Berdasarkan kandungan mukbang yang dihasilkannya, Yingying dilihat mengambil makanan dalam kuantiti banyak sambil berinteraksi dengan penonton.

Yingying dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung yang berpunca daripada paras kalium (potasium) yang sangat rendah.
Dalam hantaran terakhirnya, Yingying mendedahkan bahawa dia dimasukkan ke hospital akibat masalah kesihatan.
Dia turut berkongsi paras kalium dalam darahnya pernah turun sehingga bacaan 2.3, sedangkan paras normal adalah antara 3.5 hingga 5.5.
Paras kalium yang rendah boleh menjejaskan beberapa fungsi penting dalam badan termasuk sistem penghadaman dan kesihatan tulang.
Menurut Cleveland Clinic, kekurangan kalium yang berpanjangan boleh menyebabkan masalah seperti degupan jantung tidak normal, kelemahan otot dalam keadaan tertentu serta kelumpuhan.
Bagaimanapun, punca rasmi kematian Yingying masih belum dikeluarkan.
MENARIK DIBACA: Rumah tiada bau kucing lepas DIY pewangi natural, rebus 6 bahan dapur selesai masalah!
MENARIK DIBACA: Pergi pasar raya, lelaki terkejut lihat harga buah dari Jepun! Persoal keistimewaan, siapa selalu beli
Sebelum ini, Yingying turut berkongsi dengan pengikutnya bahawa dia berdepan tekanan tinggi serta keletihan fizikal ketika menghasilkan kandungan.
Dalam hantaran tersebut, dia turut menyampaikan pesanan yang menyentuh hati ramai.
"Walaupun mencari wang itu penting, kesihatan harus sentiasa diutamakan," tulisnya.
Doktor bagaimanapun menjelaskan bahawa makan secara berlebihan semata-mata tidak secara langsung menyebabkan paras kalium turun dengan teruk.
Sebaliknya, masalah boleh berlaku sekiranya seseorang memuntahkan makanan dengan sengaja atau menggunakan julap (ubat) untuk menyingkirkan makanan dalam jumlah yang banyak selepas rakaman selesai.
Yingying bukan satu-satunya pencipta kandungan makanan muda yang meninggal dunia selepas melakukan aktiviti makan secara ekstrem.