Kentang di Korea Selatan ‘masak’ dalam tanah akibat cuaca panas ekstrem, harga sayur melonjak
GELOMBANG panas ekstrem yang melanda Korea Selatan kini bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian penduduk, malah turut memberi kesan kepada sektor pertanian.
Bayangkan, kentang yang masih tertanam dalam tanah pun boleh menjadi lembut seperti 'dimasak' akibat suhu panas melampau.
Memetik laporan media tempatan, seorang petani di wilayah Gangwon dikenali sebagai Lee Sang-hyuk terkejut selepas menggali tanaman kentangnya ketika proses tuaian apabila mendapati kentang berkenaan sudah menjadi lembik dan hancur seperti bubur.

Jelasnya, tanaman kentang berubah tekstur dalam masa singkat padahal masih kelihatan sihat seminggu sebelum kejadian.
Bukan sahaja kentang, tanaman kubis milik Lee turut musnah menyebabkan kerugian dianggarkan sekurang-kurangnya puluhan juta won (sekitar RM100,000)
Kesan gelombang panas turut dirasai oleh sektor penternakan dan akuakultur.
Menurut laporan The Korea Times, lebih 900,000 ekor haiwan ternakan mati dalam tempoh seminggu, manakala kira-kira 864,000 ekor ikan ternakan turut berdepan nasib sama akibat suhu air meningkat mendadak.
MENARIK DIBACA: Cuaca panas melampau, Korea Utara saran rakyat makan sup daging anjing
MENARIK DIBACA: Maryam You Narae ajar petua Korea... Campuran buah pear, lobak putih bantu cairkan kahak bayi
Kerosakan tanaman dalam jumlah besar juga menyebabkan harga bahan makanan di Korea Selatan naik dengan ketara, terutama sayur-sayuran.
Harga bayam dilaporkan melonjak lebih 150 peratus, manakala harga salad pula meningkat sehingga 41.7 peratus.
Situasi itu sudah tentu memberi tekanan kepada pengguna kerana bekalan hasil pertanian terjejas dalam tempoh yang sama.