Baru nak makan, pelanggan terkejut jumpa anak lipas dalam salad
HASRAT seorang wanita untuk menikmati hidangan salad terbantut selepas dia mendakwa menemui seekor anak lipas di dalam makanan yang dibelinya dari sebuah kedai jenama terkenal di KL Sentral.
Menerusi satu hantaran di Threads, wanita berkenaan meluahkan rasa terkejut dan kecewa selepas mendapati serangga tersebut berada dalam bekas makanannya, sebelum dia menjamah hidangan tersebut.
“Hey apa khabar? Semua kakitangan okay? Adakah mereka mendapat latihan yang baik dalam pengendalian makanan? Sebab saya jumpa lipas dalam makanan saya!" tulisnya.

Hantaran tersebut turut mendapat perhatian pihak kedai berkenaan, Salad Atelier yang tampil memberikan respons serta memohon maaf atas kejadian yang berlaku.
“Hai, kami amat prihatin selepas melihat perkara ini dan dengan tulus ikhlas memohon maaf atas pengalaman yang berlaku.
"Kami telah menghantar mesej terus (DM) kepada anda supaya kami boleh mendapatkan butiran pesanan dan menyiasat perkara ini bersama pasukan kami di Nu Sentral dengan segera,” demikian reaksi diberikan pihak premis.
Dalam pada itu, perkongsian tersebut turut menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata berasa geli serta terkejut dengan kejadian itu.
MENARIK DIBACA: Serendah RM88 dah boleh makan sepuasnya! Bufet Coffee Terrace tawar menu nostalgia
MENARIK DIBACA: Wanita cetus 'kontroversi' lepas kongsi amalan gaul ayam kunyit guna tangan - "Saya pakai mesin basuh"
Perkongsian wanita berkenaan sekali gus mendapat perhatian seorang netizen apabila turut mendakwa kualiti makanan membabitkan jenama tersebut tidak lagi sebaik sebelumnya, malah turut berkongsi pengalaman kurang menyenangkan ketika berkunjung ke cawangannya di Pulau Pinang.
"Sejujurnya semuanya sudah berubah. Mereka membuka satu cawangan di Pulau Pinang dan saya pernah menerima sambal nasi lemak yang sudah rosak. Saya membuat aduan tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.
"Saya malah menghantar mesej WhatsApp, namun tiada apa-apa respons. Mereka hanya berdiam diri," dakwa netizen tersebut.

Seorang lagi pengguna media sosial pula meluahkan rasa lega kerana tidak memesan makanan yang sama pada hari kejadian.
“Ya ampun, geli! Nasib baik saya tidak memesannya hari ini," katanya.
Insiden tersebut secara tidak langsung memberi peringatan kepada pengguna supaya sentiasa memeriksa makanan sebelum menikmatinya, khususnya hidangan yang mengandungi sayur-sayuran mentah.
Sementara itu, pihak premis seperti yang diberitahu sedang mendapatkan butiran pesanan dan menjalankan siasatan bersama pasukan di cawangan berhubung kejadian yang berlaku.