Penumpang 'berebut' guna tandas pesawat, ramai sakit perut lepas diberi jus prun
BUKAN semua minuman sesuai diminum ketika berada ribuan kaki di udara kerana boleh membuatkan sistem perncernaan lawas.
Penumpang sebuah penerbangan China Southern Airlines diberikan jus prun kering ketika dalam perjalanan dari Wuhan ke Urumqi, China pada 7 Ogos lalu.
Jus itu dikenali kerana kesannya terhadap sistem pencernaan.
Kandungan sejenis gula dikenali sebagai sorbitol boleh menarik air ke dalam usus untuk membantu melancarkan proses pembuangan air besar.

Menurut laporan akhbar antarabangsa, situasi itu menjadi lebih mencabar apabila sebahagian penumpang mula beratur untuk menggunakan tandas selepas menikmati minuman berkenaan.
Pesawat hanya mempunyai dua tandas untuk digunakan lebih 100 penumpang.
Seorang penumpang meluahkan rasa tidak puas hati menerusi aplikasi ulasan perjalanan, mempersoalkan tindakan syarikat penerbangan menyediakan jus prun sedangkan kemudahan tandas di dalam pesawat begitu terhad.
Penumpang itu malah mendakwa dia hampir ‘hilang muka’ menahan sakit perut selepas menikmati minuman itu.
Pihak syarikat penerbangan berkenaan ketika dihubungi media tempatan menjelaskan menu makanan dan minuman disediakan bergantung kepada bekalan tersedia.
Respons itu bermakna jus prun bukanlah minuman diberikan kepada penumpang bagi setiap penerbangan.
Menurut syarikat itu lagi, antara pilihan minuman lazim disediakan termasuk kopi, jus buah-buahan dan susu soya.
MENARIK DIBACA: Batuk tak baik-baik, siap gatal tekak... Cuba petua minum air sarsi dengan aiskrim
MENARIK DIBACA: Cendawan susu harimau ikhtiar untuk kanak-kanak batuk, ada masalah paru-paru
Penumpang tidak mahu mengambil jus prun juga boleh memilih minuman lain termasuk air kosong.
Jus prun dari jenama Bilin itu didakwa menjadi rakan kerjasama beberapa syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa selama kira-kira 25 tahun.
Perbincangan mengenai minuman itu turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

Ada yang mendakwa merasai kesannya tidak lama selepas minum, manakala sebahagian lain pula mengakui tidak mengalami sebarang perubahan terhadap sistem penghadaman.
Isu berkenaan turut mengingatkan pengguna bahawa kesan makanan dan minuman terhadap tubuh berbeza mengikut individu.
Untuk rekod, China Southern Airlines sememangnya mempunyai rekod perolehan jus mini termasuk jus prun itu bagi perkhidmatan katering penerbangannya.
Dokumen tender rasmi syarikat itu turut menyenaraikan jus prun mini sebagai antara produk minuman dibeli untuk kegunaan penerbangan.