Cendawan susu harimau ikhtiar untuk kanak-kanak batuk, ada masalah paru-paru
PASTI ramai ibu bapa berasa bimbang dan mula panik apabila penularan virus Respiratory Syncytial Virus (RSV) kini kian meningkat dan menyerang kanak-kanak.
Bagi yang belum tahu, virus RSV menyerang saluran pernafasan dan mudah merebak melalui titisan batuk atau bersin, sentuhan dengan permukaan tercemar serta hubungan rapat dengan individu yang dijangkiti.
Walaupun kebanyakan kanak-kanak hanya mengalami simptom seperti selesema biasa, terdapat juga kes mereka boleh mengalami komplikasi lebih serius seperti bronkiolitis dan radang paru-paru (pneumonia) khususnya bayi, kanak-kanak berusia bawah dua tahun serta mereka yang mempunyai sistem imun atau paru-paru lemah.
Susulan penularan virus itu, media sosial turut dibanjiri pelbagai perkongsian daripada ibu bapa yang mencari ikhtiar bagi membantu menjaga kesihatan paru-paru anak mereka.
Antara yang mencuri perhatian dan saranan ramai ialah cendawan susu harimau atau dikenali tiger milk mushroom yang dikatakan membantu menguatkan sokongan sistem pernafasan.

Bagaimanapun, ada yang mengingatkan pengambilan cendawan itu bukan bertujuan menyembuhkan RSV, sebaliknya sebagai ikhtiar menyokong kesihatan paru-paru serta membantu mengurangkan simptom berkaitan masalah pernafasan.
Di Threads, beberapa netizen turut berkongsi pengalaman mereka selepas memberikan produk berasaskan cendawan susu harimau kepada anak-anak.
"Saya memang bagi my kids tiger milk mushroom tapi yang dah bercampur. Saya ada dua anak yang paru-paru memang tak kuat, very fragile dan memang senang sangat batuk. Tapi sejak mula bagi tiger milk mushroom, mereka dah tak mudah batuk-batuk.
"Anak saya dua orang pernah kena RSV pneumonia. Sejak itu memang fragile sangat, tak boleh silap sikit. Oren memang tak boleh sentuh terus. Pernah juga berhenti bagi roti, biskut dan apa-apa yang berkaitan gluten. Alhamdulillah susah nak sakit, tapi budak-budak kan susah nak tahan benda macam tu.
MENARIK DIBACA: Simpan durian 'frozen' dalam bekas banyak kelemahan, teknik balut lebih tahan lama
MENARIK DIBACA: [V] Jijik! Tular video tikus berkeliaran atas makanan di kedai malatang, KKM diminta ambil tindakan
"Hari itu pergi farmasi, dia cadangkan produk ini sebab anak umur dua tahun enam bulan selsema tak baik-baik akibat sinus. Boleh cuba.
"Tolonglah beli kalau batuk tak lega-lega atau selsema akibat demam. Bila makan, kahak lama dalam paru-paru cepat cair dan boleh nampak hasilnya," kongsi beberapa netizen.
Bagaimanapun, sebelum mencuba cara ini ibu bapa disarankan untuk mendapatkan nasihat doktor atau segera berjumpa pakar kesihatan jika simptom semakin melarat.

Info tambahan
Nama cendawan susu harimau berasal daripada kepercayaan masyarakat Melayu bahawa kulat ini tumbuh di tempat susu harimau betina menitis ketika menyusukan anaknya.
Sklerotiumnya (bahagian isi cendawan keras) yang berwarna putih akan mengeluarkan cecair seperti susu apabila dihancurkan.
Kaum Orang Asli di Malaysia telah lama menggunakan sklerotium cendawan susu harimau untuk merawat demam, sakit sendi, keracunan makanan serta sebagai tonik bagi yang dipercayai membantu meningkatkan tenaga dan ketangkasan ketika memburu.
Secara tradisional, sklerotium dihancurkan atau direbus sebelum diminum bersama air.
Kajian menunjukkan pengambilan cendawan susu harimau selama tiga bulan membantu meningkatkan fungsi paru-paru sebanyak 27.2 peratus dan mengurangkan simptom pernafasan sebanyak 74 peratus.
Malah ia juga membantu melonggarkan saluran pernafasan yang sempit serta mengurangkan keradangan berkaitan dengan asma.
Kajian turut mendapati pengambilan cendawan susu harimau meningkatkan tahap antibodi semula jadi (IgA) yang membantu melindungi tubuh daripada jangkitan.
Selain itu, ekstraknya juga membantu mengurangkan keradangan dalam badan.