Ratusan pelajar keracunan makanan lepas makan sajian percuma, ketua dapur dipecat
RATUSAN pelajar sekolah menengah terpaksa menerima rawatan di hospital selepas disyaki mengalami keracunan akibat menikmati sajian percuma menerusi program Makan Bergizi Gratis (MBG).
Kejadian itu membabitkan pelajar daripada beberapa sekolah menengah atas (SMA) di di Berastagi, Kabupaten Karo, Sumatera Utara, Indonesia.
Menurut laporan akhbar antarabangsa, antara gejala dialami termasuk loya, muntah, pening dan badan terasa lemah sehingga menyebabkan mereka terpaksa dibawa ke beberapa pusat rawatan berhampiran.
Mangsa dilaporkan menerima rawatan di Hospital Efarina Berastagi, Hospital Amanda Berastagi, Hospital Umum Kabanjahe serta Pusat Kesihatan Berastagi.

Susulan kejadian itu, Badan Gizi Nasional (BGN) segera menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar masalah kesihatan yang dialami para pelajar.
Ketua BGN, Sudaryono berkata, pihaknya sudah berkoordinasi dengan Ketua Daerah Karo, Antonius Ginting, selain bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan tempatan untuk memeriksa sampel makanan yang masih berbaki.
“Pemeriksaan sampel lebihan lauk diserahkan kepada Jabatan Kesihatan setempat untuk pemeriksaan lanjut.
“BGN turut mengambil tindakan pentadbiran terhadap pihak yang bertanggungjawab mengendalikan penyediaan makanan tersebut,” kongsinya.
Menurut laporan, Ketua Unit Perkhidmatan Pemenuhan Pemakanan (SPPG) dikaitkan dengan kejadian itu turut dipecat daripada jawatan, manakala dapur operasi menyediakan makanan berkenaan dihentikan operasi sementara siasatan dijalankan.
MENARIK DIBACA: Biskut Oreo biasanya manis, kini tampil dengan krim ayam goreng KFC pula!
MENARIK DIBACA: Buat baja organik guna sisa ikan bilis! Tanaman subur, tomato dan cili 'meriah' di pokok
BGN menegaskan aspek keselamatan makanan perlu diberi perhatian serius pada setiap peringkat, khususnya apabila makanan disediakan dalam jumlah besar untuk diagihkan kepada pelajar dan penerima manfaat lain.
Menurut Sudaryono, kejadian di Kabupaten Karo menjadi peringatan supaya setiap proses penyediaan makanan dalam program MBG dipantau dengan lebih ketat bagi memastikan hidangan yang disalurkan selamat serta memenuhi piawaian ditetapkan.
“Insiden ini sekali lagi menjadi tamparan dan peringatan bahawa setiap peringkat penyediaan makanan mesti diawasi dengan serius.

“Ratusan pelajar terjejas. Langkah pertama BGN adalah memastikan keadaan mereka sebelum mencari punca sebenar kejadian,.
“Kami minta maaf. Semoga segera sembuh,” katanya.
Sehingga kini, pemeriksaan terhadap sampel lebihan lauk masih dijalankan bersama Jabatan Kesihatan bagi mendapatkan jawapan mengenai punca sebenar gejala yang dialami para pelajar.
Program MBG merupakan antara inisiatif kerajaan Indonesia yang menyediakan hidangan berkhasiat secara percuma kepada golongan sasaran termasuk pelajar.