Penjual nasi kerabu dakwa diusir 'peniaga otai' hari pertama buka gerai
BERMACAM ujian terpaksa dihadapi peniaga apabila mahu mencari rezeki di tepi jalan.
Seorang peniaga nasi kerabu mendakwa gerainya didatangi beberapa individu pada hari pertama dia berniaga.
Kongsi wanita itu, dia diminta berhenti daripada menjalankan perniagaan di sekitar tapak perniagaan di Selangor.
Katanya, kejadian berlaku ketika makanan masih banyak dan perniagaannya baru sahaja dibuka pada Jumaat malam.

“Titik terendah peniaga tepi jalan, hari pertama niaga dah kena halau. Makanan masih banyak lagi ni.
“Sampai tiga orang datang beri amaran dan marah kami niaga sini,” tulisnya menerusi Threads.
Dakwanya lagi individu terbabit dipercayai peniaga sekitar kawasan itu juga dan memberi alasan pengambilan tapak tersebut perlu mendapat kelulusan persatuan berkaitan.
“Entahlah, katanya susah payah empat tahun 'naikkan' tempat geng-geng mereka berniaga supaya orang ramai kenal. Tiba-tiba orang baharu masuk, macam tak adil.
“Peniaga baharu tak boleh kacau peniaga lama,” luahnya.
Bagaimanapun selepas hantarannya tular, peniaga itu tampil menjelaskan satu perkara berhubung dakwaan pengusiran itu dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Saya nak betulkan, dari pihak sana ada cakap majlis perbandaran yang halau kami malam tadi.
"Betul kebetulan ramai penguat kuasa datang malam tadi, tapi tak ada pun halau kami.
“Tolong jangan fitnah dan buat cerita bukan-bukan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, peniaga berkenaan turut memaklumkan bahawa dia mengambil keputusan untuk berehat dan tidak berniaga buat sementara waktu selepas kejadian tersebut.
Menurutnya, dia berasa kurang selesa selepas kejadian dan takut untuk berdepan dengan orang ramai.
“Terima kasih semua atas kata-kata semangat dan sokongan. Ramai juga yang DM dan WhatsApp nak sokong nasi kerabu saya dan saya terharu sangat-sangat.
MENARIK DIBACA: Nak ‘battle’ Sambal Nyet Bilis, trip Itali? Khairul Aming kongsi tip pemenang terdahulu
MENARIK DIBACA: Khairul Aming perkenal sambal bilis pula, sanggup turun laut demi hasil terbaik
“Maaf ya semua, buat sementara waktu ini saya berehat dan tak berniaga dulu sehingga betul-betul sembuh.
"Semalam saya menggigil teruk sebab mengalami keresahan. Saya jadi trauma dan takut nak berhadapan dengan semua orang,” kongsinya.

Beberapa pengguna media sosial tampil memberikan sokongan, malah ada yang bertanyakan lokasi baharu untuk mendapatkan nasi kerabunya.
“Di bawah persatuan mana yang urus tapak itu? Esok berniaga di mana? Kami nak datang beli. Nampak sedap lemak bakar itu.
“Akak, saya pun kena WhatsApp benda sama. Sedangkan saya berniaga di situ awal lagi sebelum semua datang ke situ.
“Sebelum ini saya pernah meniaga sushi dekat situ, pun kena halau dengan individu sama sebab meniaga bersebelahan,” antara komen netizen.