Sing Sing Coffee nafi sijil halal ditarik balik, dakwaan tular tidak benar
TULAR di media sosial apabila sijil halal sebuah kilang memproses kopi di Melaka ditarik balik selepas menggunakan berus dipercayai diperbuat daripada bulu babi dalam kerja-kerja pembersihan.
Bagaimanapun, identiti jenama yang terlibat masih belum didedahkan secara rasmi, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna.
Menerusi tinjauan dibuat Kuali, beberapa jenama kopi tempatan mula dikaitkan dengan dakwaan tersebut termasuklah Sing Sing Coffee memandangkan ia juga mempunyai kilang yang beroperasi di negeri berkenaan.

Tampil menjawab spekulasi itu, Sing Sing Coffee Sdn Bhd dalam satu kenyataan, menyangkal dakwaan bahawa sijil halal syarikat mereka telah ditarik balik seperti mana yang tular di media sosial.
Tegasnya, segala maklumat dan gambar yang tersebar tidak mempunyai sebarang kaitan dengan operasi mereka.
“Semua proses pengeluaran kami adalah selaras dengan garis panduan kebersihan dan syariah yang ditetapkan. Status halal kami adalah masih sah dan diiktiraf.
“Syarikat kami telah beroperasi selama lebih 67 tahun dan sentiasa komited dalam menghasilkan produk berkualiti serta memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” jelas kenyataan itu.
MENARIK DIBACA: Tak tepati standard, netizen ramal banyak bazar akan gagal jika disyaratkan ambil sijil halal
MENARIK DIBACA: Cili Kampung - Dotty’s bergabung, perkukuh jenama halal premium sajian Melayu dan artisanal
Dalam masa sama, pihak syarikat turut menasihati orang ramai agar tidak mudah mempercayai maklumat yang tidak sah atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat.
Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) menarik sijil halal sebuah kilang memproses kopi dan biskut di negeri itu selepas disyaki menggunakan berus bulu babi dalam kerja pembersihan peralatan.
Kesalahan tersebut dikesan ketika pemeriksaan oleh Bahagian Pengurusan Halal Jaim pada Januari lalu, yang mendapati pekerja menggunakan berus dipercayai diperbuat daripada bulu haiwan berkenaan bagi membersihkan peralatan kilang.