Cili Kampung - Dotty’s bergabung, perkukuh jenama halal premium sajian Melayu dan artisanal
CILI Kampung Malaysia, peneraju terkemuka dalam masakan Melayu autentik mengumumkan pemerolehan pegangan ekuiti sebanyak 50 peratus dalam jenama artisanal terkenal, Dotty's Pastries & Coffee (Dotty’s).
Langkah strategik ini berlaku seiring penjenamaan perniagaan Dotty’s yang memasuki ulang tahun ke-10 penubuhannya.
Menerusi kerjasama ini, Cili Kampung merancang memperluaskan jejak pasaran Dotty’s secara agresif selain mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi makan berteraskan seni bina halal utama negara.

Ketua Pegawai Pemasaran Cili Kampung Malaysia, Kesavan (KC) Purusotman berkata selain semakin kukuh di destinasi runcit serta menjadi tumpuan ramai, kumpulan ini kini merangka pelan pengembangan lanjut disokong strategi dapur berpusat bagi menjamin kecekapan operasi serta konsistensi produk pada skala lebih besar.
"Dengan penyelarasan disiplin operasi Cili Kampung dengan kekuatan artisanal Dotty's, kami sedang membina platform yang lebih kukuh dalam segmen kafe artisanal halal premium dan sajian Melayu moden.
MENARIK DIBACA :Tak sangka! 3 hidangan mewah ini pernah jadi makanan ‘marhaen’
MENARIK DIBACA :Blue matcha minuman biru daripada bunga telang, tanpa kafein tapi kaya antioksidan
"Langkah ini meletakkan kedua-dua jenama pada kedudukan terbaik untuk mencapai pertumbuhan mampan di Malaysia dan ke peringkat antarabangsa," kongsinya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) menandakan pengambilalihan strategik 50 peratus pegangan saham Dotty’s Pastries and Coffee oleh Cili Kampung Malaysia, baru-baru ini.
Bagi pihak Cili Kampung Malaysia MoU ditandatangani oleh pengarahnya, Khairul Anwar Abdul Azeez, manakala Dotty’s diwakili pengasasnya, Nadia Nasimuddin.

Bagi Nadia, beliau melihat kerjasama ini sebagai detik penting dalam evolusi jenama tersebut.
"Menjelang ulang tahun ke-10 kami, perkongsian ini menyediakan struktur dan sokongan strategik untuk memacu Dotty's daripada sebuah jenama bebas kepada peneraju pasaran nasional yang mempunyai kebolehskalaan luas.
"Dengan Cili Kampung sebagai rakan kongsi setara, fokus kami adalah terhadap pengembangan terkawal tanpa mengabaikan piawaian artisanal serta pengalaman hospitaliti yang telah menjadi identiti Dotty's sejak awal penubuhannya," katanya.
