Tak sangka! 3 hidangan mewah ini pernah jadi makanan ‘marhaen’
PERUBAHAN zaman tidak hanya mengubah selera, tetapi juga status dan nilai sebuah hidangan.
Siapa sangka, sajian yang sinonim dengan kemewahan sebenarnya hanyalah makanan golongan marhaen suatu ketika dahulu.
Makanan-makanan ini menjadi pilihan kerana murah, mudah didapati bahakan bekalannya yang melimpah.
Seiring pertukaran zaman, teknologi dan persepsi masyarakat telah mengangkat status hidangan berikut menjadi sajian premium.

1. Sushi
Sushi kini dikenali sebagai hidangan Jepun yang moden dan mahal, terutama apabila menggunakan ikan segar berkualiti tinggi seperti tuna premium atau salmon import.
Namun, asal usulnya bermula sebagai kaedah pengawetan ikan ketika zaman Jepun Kuno.
Ikan difermentasi bersama nasi untuk menghasilkan asid laktik bagi mengelakkan ikan cepat rosak.
Nasi tersebut tidak dimakan, sebaliknya dibuang selepas proses penapaian selesai. Ikan hasil fermentasi ini menjadi sumber protein murah untuk petani dan pekerja desa.
Memasuki zaman Edo, sushi berkembang menjadi makanan jalanan dikenali sebagai nigiri, dijual secara pantas untuk buruh bandar.
Hanya selepas teknologi penyejukan berkembang pasca Perang Dunia Kedua, sushi mula 'naik kelas' dan berubah menjadi sajian eksklusif seperti yang kita kenali hari ini.

2. Sup sarang burung
Sup sarang burung atau lebih dikenali sebagai sup burung walit kini dikategorikan antara makanan termahal di dunia.
Namun di sebalik status mewah itu, hidangan ini sebenarnya berakar daripada kehidupan sederhana masyarakat pesisir Asia Tenggara.
Pada masa lalu, sarang burung walit yang terbentuk daripada air liur burung dan mengeras secara semula jadi dikumpulkan oleh penduduk yang tinggal berhampiran gua-gua.
Sarang ini dimanfaatkan sebagai sumber nutrisi tambahan serta dijadikan ubat tradisional, khususnya untuk merawat masalah pernafasan dan meningkatkan imun tubuh.
MENARIK DIBACA: Seblak simbol kepayahan golongan miskin, asalnya diperbuat daripada makanan sisa
MENARIK DIBACA: Rahsia di sebalik semangkuk mi segera, ketahui asal usul dan evolusi sejak 4,000 tahun lalu
Meskipun proses pengambilannya bahaya kerana perlu memanjat dinding gua, sarang burung walit dianggap sebagai hasil alam 'percuma' dan mudah diperoleh.
Status hidangan ini berubah secara drastik apabila sup sarang burung mula diperkenalkan ke kalangan bangsawan China.
Kepercayaan terhadap khasiat kesihatan, digabungkan dengan kesukaran proses penghasilannya, secara perlahan membina imej eksklusif terhadap makanan ini.

3. Tiram (oyster)
Pada abad ke-19, tiram atau oyster merupakan makanan jalanan yang sangat biasa di kota-kota besar seperti New York dan London.
Ketika itu, tiram mudah diperoleh dengan harga murah, menjadikannya sumber protein utama bagi golongan kelas bawahan.
Disebabkan bekalannya yang melimpah, ada mencampurkannya dalam pai daging semata-mata mahu mengurangkan kos pengeluaran makanan.
Namun, revolusi perindustrian membawa kesan besar terhadap ekosistem laut apabila pencemaran menyebabkan populasi tiram merosot secara drastik.
Dari makanan harian golongan buruh, tiram perlahan-lahan berubah menjadi hidangan sukar diperoleh.
Kini, tiram segar sering dikaitkan dengan restoran eksklusif dan gaya hidup mewah, jauh berbeza daripada imej asalnya sebagai makanan rakyat biasa.