"Nasi lemak hilang identiti tak pula siapa tegur" - Zhiddin Aziz kesal sajian warisan diabai, menu Barat dipertahan
SAMA ada dalam bentuk bungkusan daun pisang atau sajian dalam pinggan mewah, nama 'nasi lemak' tetap teguh merentas zaman.
Hidangan ini pada zaman dahulu dijadikan sarapan berat untuk petani dan nelayan, dengan nasi dibungkus padat menggunakan daun pisang, membangkitkan aroma gabungan santan dan pandan harum.
Diiringi pula dengan kacang tanah goreng, ikan bilis garing, telur rebus bersama sambal pekat manis dan pedas membuatkan keenakan hidangan ini harus diakui.

Malangnya, seiring peredaran masa nasi lemak yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia mula hilang keasliannya bahkan rasanya juga tidak lagi seasli dahulu.
Perkara ini turut dibangkitkan oleh seorang pempengaruh media sosial, Zhiddin Aziz, menerusi laman Threads.
Pandangan yang disuarakan Zhiddin itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kisah seorang pempengaruh masakan tempatan yang dikecam kerana dianggap merosakkan resipi asal sajian Barat, 'cottage pie' dan dikatakan mengajar teknik memasak secara salah.
"Nasi lemak dah banyak hilang identiti. Nasi putih tak dimasak dengan santan pun masih dipanggil nasi lemak.
"Aneh, tak kedengaran pula siapa menegur. Tapi bila makanan Barat tersilap sedikit dia (pengkritik) paling cepat menjadi penjaga warisannya dan yang luar kita pertahankan penuh wibawa, manakala yang dalam dibiarkan hilang makna," tulisnya.
MENARIK DIBACA: [V] Sah jus tembikai ini tak campur air! Peniaga terkejut gerai diserbu, isteri awalnya was-was idea 'piyor'
MENARIK DIBACA:Nama Musang King hak milik Malaysia, negara lain tak boleh suka-suka guna – Mat Sabu
Perkongsian ini mendapat perhatian ramai di ruangan komen dan masing-masing berkongsi pengalaman menikmati nasi lemak yang hilang 'jiwanya'.
Kebanyakan mereka setuju situasi ini bukan sahaja melibatkan rasa, tetapi juga bentuk dan penyediaan. Ramai yang kecewa kerana konsep 'nasi lemak asli dan sempurna' kini semakin sukar ditemui.
"Penggunaan beras basmathi langsung tak wajar, hilang rasa lemak santan dalam nasi. Nak jual bagi set lengkap telur rebus, kacang, timun dengan sambal. Satu lagi, apabila ditambah telur mata, hilang terus telur rebus.

"Nasi lemak RM3, cuma dapat nasi biasa, timun nipis dan sambal tanpa ikan bilis atau kacang berbanding dahulu RM1.20 lengkap dengan nasi bersantan, ikan bilis garing, beberapa biji kacang dan timun segar.
"Saya lebih ambil berat tentang nasi lemak dijual. Sebab nasi lemak adalah makanan warisan kita. Nasi perlu berlemak dan tak ada campuran lain dalam nasi. Sambal nasi lemak perlu 'berfungsi', bukan rasa sambal ayam.
"Harga boleh naik, tapi jangan sampai hilang identiti," antara komen netizen.