Gerai 'sepi', pakcik ini tak henti sebut 'Alhamdulillah' jika jus terjual... Mengaku tumpang rezeki gerai sebelah
CABARAN perlu dihadapi peniaga bukan sedikit. Ada kala untung melimpah, ada kala jualan 'sepi'. Namun demi mencari rezeki, ramai tetap bertahan biarpun terpaksa 'hadap' cuaca panas mahupun hujan lebat sepanjang bulan penuh berkat ini.
Kisah seorang warga emas yang menjual jus serendah RM5 di celah hiruk-pikuk bazar Ramadan membuatkan hati sebak dan insaf seketika.
Seorang peniaga kuih menerusi Threads berkongsi cerita mengenai pakcik itu yang berniaga bersebelahan tapaknya di Taman Rinting Masai, Johor.
"Pakcik ni jual air jus buah kisar segar. Saiz besar tapi harga cuma RM5 untuk semua jenis buah.

"Murah dan berbaloi, tapi mungkin faktor usia pakcik ni tak begitu arif menggunakan teknik promosi ‘ala zaman sekarang’. Dia hanya panggil je orang lalu-lalang,” kongsinya.
Menurut wanita berkenaan, suatu hari hujan turun lebat di bazar berkenaan sehingga jam 6.30 petang. Suasana jadi suram, pengunjung pun tak seramai biasa.
MENARIK DIBACA: [V] Sah jus tembikai ini tak campur air! Peniaga terkejut gerai diserbu, isteri awalnya was-was idea 'piyor'
MENARIK DIBACA:Nama Musang King hak milik Malaysia, negara lain tak boleh suka-suka guna – Mat Sabu
"Saya terdengar perbualan pakcik ni dekat telefon. Katanya hari ni dia cuma dapat RM20.
"Malam kemarin ada la dapat RM90, RM150,” luahnya sebak.
Mendengar keluhan itu, hatinya terus tersentuh. Katanya, dia sendiri kadang-kadang rasa ‘down’ bila jualan tak banyak.
“Pada dia (pakcik) RM90 tu pun dah cukup banyak,” ujarnya lagi.
Apa yang lebih menyentuh hati, pakcik tersebut tak pernah lekang mengucapkan 'Alhamdulillah' setiap kali ada pelanggan membeli jus yang dijualnya.

Malah, pakcik itu pernah berpesan kepadanya supaya jangan berpindah tapak jauh kerana mahu menumpang rezeki.
Kata-kata itu membuatkan dirinya sebak kerana warga emas itu mengharapkan 'tempias' rezeki daripada pelanggan yang datang membeli kuih di gerainya.
“Tak apa pakcik, saya tak pindah pun. Tetap ada dekat sebelah pakcik, sama-sama cari rezeki," ujar wanita itu.
Di bulan penuh keberkatan ini, kisah seperti inilah mengingatkan diri tentang erti syukur dan berkongsi rezeki.