Tak semua makanan disediakan untuk berbuka di masjid boleh dimakan wanita haid
WANITA yang tidak boleh berpuasa tidak bermaksud mereka perlu ‘menyepi’ daripada melakukan aktiviti bagi melipat gandakan pahala Ramadan.
Ada yang tetap bersemangat turun ke masjid menjelang waktu berbuka untuk membantu mengagihkan makanan dan tidak ketinggalan berbuka bersama ahli kariah.
Dalam keterujaan itu, ramai wanita tak sedar mereka sebenarnya tidak dibenarkan makan atau berbuka dalam ruang masjid seperti jemaah lain.
Seorang pengguna Threads berkata, dia juga baru tahu wanita sedang haid tidak boleh makan makanan disediakan untuk individu yang berpuasa dan berbuka di masjid.

"Saya baru tahu perempuan haid tak boleh makan makanan disediakan untuk orang berbuka di masjid kecuali jelas dinyatakan makanan tu untuk semua orang datang ke masjid," kongsinya.
Perkongsian wanita ini mengundang pelbagai reaksi warga maya, dengan ada yang juga kurang bersetuju kerana berpendapat makanan diedarkan adalah untuk tujuan bersedekah.
Menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, antara perkara diharamkan bagi orang dalam keadaan junub atau wanita haid adalah berada di dalam masjid.
MENARIK DIBACA:Senarai restoran tawar aneka sajian Melayu dengan suasana kampung ala Rembayung
MENARIK DIBACA:Bufet licin 10 minit lepas waktu berbuka... Hotel kedekut atau tetamu tamak? -"Mindset kata aku bayar mahal"
Ini berdasarkan firman Allah SWT berikut: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar), kecuali kamu hendak melintas sahaja hingga kamu mandi bersuci.” (Surah al-Nisa’, 43)
Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan bahawa haid dianggap lebih berat daripada junub kerana ia melibatkan larangan-larangan lebih banyak termasuk melintasi masjid jika ada kemungkinan darah haid akan mencemari tempat tersebut.
Jika tiada risiko pencemaran, wanita sedang haid boleh melintasi masjid, namun hukumnya makruh sama seperti orang junub.
Jika tempat iftar tersebut adalah kawasan masjid dilarang kepada wanita haid atau orang berjunub, maka diharamkan bagi golongan tersebut duduk di dalam masjid dalam apa jua keadaan meskipun mampu menjaga kesucian masjid.

Namun, jika kawasan tempat berbuka puasa itu bukan termasuk kawasan dilarang untuk wanita haid seperti kawasan tempat meletakkan kenderaan atau dewan jamuan berasingan dengan masjid maka ia diharuskan.
Makanan disediakan untuk berbuka puasa secara umumnya adalah khusus untuk orang berpuasa.
Dalam konteks ini, jika seseorang memberi wang dengan tujuan tertentu seperti berbuka puasa, maka pemberian itu dianggap khusus untuk disebutkan.
Namun, jika pemberian itu hanya dilakukan secara biasa tanpa tujuan khusus, maka penerima wang tersebut bebas untuk menggunakannya mengikut kehendaknya.
Oleh itu, sekiranya tidak dapat dipastikan penderma akan meredai makanannya dimakan oleh orang tidak berpuasa, maka orang yang tidak berpuasa tidak dibenarkan mengambilnya.

Kesimpulannya, sekiranya wanita haid tidak tahu kepada siapa makanan tersebut dikhususkan maka wajib kembali kepada hukum asal iaitu niat penderma hanya untuk orang berpuasa.
Oleh itu, orang yang tidak berpuasa tidak dibenarkan mengambil makanan disediakan.
Sebaiknya, wanita haid bertanya dengan penganjur iftar tersebut atau pihak masjid sebelum mengambil makanan disediakan.
Hal ini kerana berkemungkinan makanan disediakan melebihi kapasiti jemaah yang akan berbuka puasa.