Ayam goreng beli di bazar ada ulat tepung, lelaki lega KKM pantas buat kerja
HASRAT menikmati juadah berbuka bertukar mimpi ngeri buat seorang lelaki apabila menemui seekor ulat di dalam ayam goreng dibelinya di bazar sekitar Senawang, Negeri Sembilan.
Menerusi satu perkongsian di Threads, lelaki itu berkongsi pengalamannya sambil memuat naik video sebagai bukti.
“Saya dah kena. Bila pula giliran anda? Ini juadah berbuka semalam,” tulisnya ringkas.
Dalam video dimuat naik, kelihatan seekor ulat berbelang hijau kehitaman berada di celah isi ayam goreng dibelinya sekali gus mengundang rasa jijik dalam kalangan netizen.

Tidak berdiam diri, dia memaklumkan di ruangan komen bahawa sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Malah, dia turut memuat naik gambar laporan sebagai bukti.
MENARIK DIBACA: [V] Sah jus tembikai ini tak campur air! Peniaga terkejut gerai diserbu, isteri awalnya was-was idea 'piyor'
MENARIK DIBACA: Cara buat nasi goreng Cina 'pot'... Tak perlu tumis, tak payah goreng tiba-tiba siap!
Dia juga memuji tindakan pantas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengendalikan aduan tersebut.
“Pantas KKM bekerja, tahniah!” tulisnya.
Berdasarkan gambar dikongsikan, pihak berkuasa memaklumkan siasatan akan dibuat dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas siasatan selesai.

Insiden itu mencetuskan perdebatan hangat dalam talian.
Ada meluahkan rasa terkejut dan jijik dengan penemuan tersebut manakala ramai menggesa supaya penguatkuasaan aspek kebersihan di bazar Ramadan diperketatkan.
“Dedahkan gerai mana dan buat laporan.
“Ini ulat tepung saya bagi landak makan. Saya sendiri pun geli nak pegang," antara komen netizen.