Ibu bapa sila sorok 3 makanan ini jika tak mahu 'sabotaj' puasa anak! Kalau simpan mesti terguna masa terdesak
TIDAK lama lagi umat Islam bakal menunaikan ibadah wajib iaitu berpuasa di bulan Ramadan.
Inilah masa terbaik untuk ibu bapa melatih anak-anak yang masih kecil berpuasa seperti orang dewasa.
Menerusi perkongsian penasihat keibubapaan, Amalina Mohd Daud, terdapat tiga jenis makanan yang sebaiknya dielakkan ketika bersahur jika mahu puasa anak-anak berjalan lancar tanpa 'drama'.

“Takut tak sampai pukul 10 pagi, anak akan jadi luar kawalan seperti cepat mengantuk, lemah, mood berubah dan menggigil lapar.
“Masa inilah risiko dia ponteng puasa, sampai curi minum air tandas pun ada,” katanya.
Menurut Amalina, walaupun tiga makanan ini mudah disediakan ketika bersahur, namun tanpa sedar ia boleh menjejaskan puasa anak-anak.
Justeru dia menyarankan agar ibu bapa mengambil langkah awal dengan menyembunyikannya sebelum masuk bulan Ramadan.
"Kalau simpan mesti akan terguna waktu sahur waktu terdesak nanti," katanya.
Tiga makanan tersebut adalah:

1. Air manis (sirap atau kordial)
Ramai beranggapan minum air manis ketika sahur boleh membekalkan tenaga berpanjangan.
Sebaliknya, minuman yang mengandungi gula ringkas menyebabkan paras gula dalam darah naik mendadak, kemudian turun dengan cepat.
MENARIK DIBACA:Elok makan telur kalau kena bisul, bukan penyebab jangkitan lambat sembuh
MENARIK DIBACA: Mulut bau bangkai walaupun jaga kebersihan oral, hati-hati 5 penyakit ini boleh jadi punca
Keadaan yang dipanggil 'sugar crash' ini menyebabkan anak cepat lapar, mengantuk dan lembik sepanjang hari.

2. Makanan tinggi garam
Ramai ibu bapa ambil jalan mudah dengan memasak mi segera, nugget, sosej atau makanan diproses sebagai menu sahur semata-mata mahu jimatkan masa.
Namun realitinya, garam bersifat menarik air iaitu mengeringkan sel badan dengan cepat.
Pengambilan garam yang tinggi menyebabkan rasa dahaga melampau, malah ada yang sampai sakit kepala dan hilang fokus.

3. Karbohidrat kosong
Roti putih atau bijirin manis mungkin nampak mengenyangkan, tetapi ia sebenarnya rendah serat dan protein.
Tanpa protein dan serat yang mencukupi, anak akan berasa cepat lapar dan tenaga tidak stabil.
Jika berlarutan sepanjang Ramadan, anak boleh kelihatan semakin kurus dan tidak bermaya.
