Simpan nasi dalam peti sejuk belum tentu selamat, boleh jadi penyebab keracunan makanan
MENYIMPAN sisa nasi di dalam peti sejuk sering dilakukan kebanyakan orang untuk mengelak pembaziran.
Nasi yang disimpan di dalam peti sejuk memang boleh bertahan selama beberapa hari dan masih boleh dimakan selepas dipanaskan semula atau dijadikan nasi goreng.
Namun tahukah anda, nasi disimpan terlalu lama di dalam peti sejuk boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan?
Ini kerana nasi terdedah dengan bakteria sekali gus mengakibatkan seseorang itu mengalami keracunan makanan.

Nasi yang disimpan terlalu lama di dalam peti sejuk boleh mengundang pembiakan bakteria dikenali sebagai bacillus cereus yang boleh menyebabkan seseorang mengalami gejala seperti mual, muntah dan cirit-birit.
Pembiakan bakteria ini juga boleh berlaku jika nasi panas tidak disejukkan selepas sejam dimasak atau disimpan terlalu lama di suhu ruang serta di dalam peti sejuk.
Paling menakutkan, bakteria ini boleh menghasilkan sejenis toksin yang tidak dapat dihapuskan walaupun selepas nasi dipanaskan semula sehingga mengakibatkan seseorang itu mengalami keracunan makanan.
MENARIK DIBACA: [V] Ara Johari tak kekok ke dapur, masak lemak cili api menu 'signature'
MENARIK DIBACA: Ramai elak makan sebab takut gout, tapi ketam banyak manfaat termasuk kuatkan ingatan
Selain menyebabkan pembiakan bakteria, nasi yang disimpan terlalu lama di dalam peti sejuk juga akan kehilangan kelembapan dan menjadi kering.
Justru, cara selamat untuk menyimpan nasi sisa adalah seperti berikut:
Sejukkan dengan cepat - Dinginkan nasi pada suhu ruang selepas sejam dimasak sebelum disimpan dalam peti sejuk.

Guna bekas kedap udara - Nasi yang telah disejukkan disimpan dalam bekas kedap udara bagi mengelak pertumbuhan bakteria.
Panaskan sekali sahaja - Panaskan nasi yang disimpan dalam peti sejuk cuma sekali sahaja dan jangan simpan nasi lebih daripada tiga hari dalam peti sejuk.
Periksa sebelum makan - Jangan makan nasi yang dipanaskan semula jika terdapat bau masam, berlendir atau melekit bagi mengelak berlakunya keracunan makanan.