Wajah lebih berseri, parut pudar dan rambut berkilat lepas amal minum kolagen sisik ikan
RAMAI sanggup berbelanja besar demi mendapatkan kulit sihat dan berseri, namun seorang lelaki di Threads menarik perhatian ramai apabila berkongsi tentang kolagen sisik ikan yang didakwa berkesan untuk dirinya.
Menerusi hantarannya, pemuda itu mengesyorkan orang ramai cuba mendapatkan sisik ikan kering di kedai herba Cina untuk dijadikan minuman kolagen buatan sendiri.
Menurutnya, dia mula mencuba resipi tersebut selepas membaca perkongsian daripada warga maya di Threads.
"Kalau pergi kedai herba Cina cuba cari sisik ikan untuk buat kolagen. Letak pula daun pandan memang menyedut.
"Baru amalkan selepas ada orang kongsi info dan resipi di Threads. Orang kata keberkesanannya boleh nampak seawal tiga minggu tapi saya baru seminggu amalkan dah nampak kesan," kongsinya.
Lelaki itu mendakwa perubahan yang dialami termasuk kulit menjadi lebih lembap, tidak kusam serta parut kelihatan semakin pudar.

Malah, dia turut mendakwa akar rambutnya menjadi lebih kuat dan berkilat selepas mengamalkan minuman tersebut.
Lebih menarik, dia mendakwa terdapat satu lagi kesan yang tidak dijangka iaitu perubahan pada emosi dan mood hariannya.
"Side effect yang saya baru tahu tapi orang tak cakap, mood pun jadi lebih stabil. Rasa macam gembira je," katanya.
Dalam perkongsiannya, lelaki itu turut menyenaraikan beberapa manfaat yang sering dikaitkan dengan kolagen daripada sisik ikan.
Antaranya termasuk membantu memperbaiki tekstur kulit, menjadikan kulit lebih tegang dan berseri selain menyokong kesihatan sendi serta tulang.
Sisik ikan juga dikatakan menjadi alternatif sumber kolagen semula jadi yang lebih menjimatkan berbanding produk komersial di pasaran.
Lelaki itu juga tidak lokek berkongsi resipi kolagen sisik ikan yang diamalkannya.
MENARIK DIBACA: [V] Pemuda 'jual' nama 'A Jeo Ssi' buka restoran Korea, kimchi bukan sekadar 'banchan'
MENARIK DIBACA: Ramai sangka susu ibu lengkap nutrisi, doktor dedah rupanya rendah satu nutrien penting
Bahan-bahan
- 150 hingga 200 gram sisik ikan kering
- 1 hingga 1.5 liter air
- 3 hingga 4 helai daun pandan (disimpul)
- Sedikit halia dihiris nipis
- Gula batu
- Kurma merah (red dates)
- Longan kering
- Goji beri
Cara penyediaan
- Masukkan semua bahan ke dalam periuk slow cooker.
- Masak selama tiga hingga empat jam.
- Tapis air rebusan.
- Sejukkan sebelum diminum.