Caj bungkus cecah RM2... Pengguna nak 'tapau' makanan dinasihat bawa bekas sendiri
SEMAKIN ramai pengguna yang kita lihat membawa bekas sendiri untuk membungkus makanan atau minuman dari gerai atau restoran.
Memetik laporan The Star, amalan itu bukan sahaja didorong oleh kesedaran untuk menjaga alam sekitar, malah turut menjimatkan wang kerana sesetengah premis mengenakan caj tambahan untuk pembungkusan.
Seorang pengguna, Shirley Ng, 55, berkata membawa bekas makanan sendiri sudah menjadi amalan harian setiap kali dia membeli nasi campur.
Jelasnya, bekas guna semula lebih praktikal kerana mudah dicuci dan boleh digunakan berkali-kali.

"Mudah, senang dicuci dan boleh guna semula. Saya pun boleh berjimat sebab kebanyakan gerai sekarang kenakan caj untuk bekas plastik.
"Pada masa sama, saya rasa gembira kerana sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesan buruk kepada alam sekitar," katanya.
Mungkin ada yang tidak sedar, sesetengah peniaga mengenakan caj sehingga RM2 bagi setiap bekas bungkusan makanan.
Situasi ini berlaku susulan harga bekas plastik, beg dan bahan pembungkusan lain yang meningkat antara 60 hingga 70 peratus.
MENARIK DIBACA: China cipta plastik mesra alam dari buluh, terurai dalam masa 50 hari
MENARIK DIBACA: Rumah terbuka Noor Nabila 'next level'! Pinggan plastik, sudu 'emas' beli dari luar negara
Menurut Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas), C. Krishnan, sebelum ini, ramai pengusaha sanggup menyerap kenaikan kos, namun peningkatan yang terlalu tinggi menjadikan keadaan semakin mencabar.
"Kalau naik lima atau 10 peratus, pengusaha masih boleh tanggung. Tetapi dengan kenaikan sekarang, memang sukar," katanya.
Justeru, amalan membawa bekas sendiri dilihat sangat efektif bagi mengelakkan caj pembungkusan dikenakan oleh sesetengah premis kepada pelanggan.

Dalam pada itu, Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) memaklumkan pengeluar plastik turut berdepan peningkatan kos bahan mentah serta gangguan bekalan susulan konflik di Timur Tengah.
Presidennya, Cheah Chee Choon berkata, harga bahan mentah yang sebelum ini sekitar AS$930 (RM4,370) setan telah melonjak kepada kira-kira AS$1,700 (RM7,990) setan.
Malah, sesetengah gred khusus mencecah AS$2,000 (RM9,400) setan susulan pembelian panik yang berlaku pada Februari dan Mac.
Katanya, pihaknya kini bekerjasama dengan ahli persatuan dan para peniaga bagi memastikan bekalan kembali stabil, termasuk mendapatkan sumber alternatif dari China.