Bersenam 30 minit selepas makan, wanita hampir hilang nyawa akibat limpa pecah
GARA-gara bersenam selepas makan, tindakan itu nyaris meragut nyawa seorang wanita yang mengalami pendarahan dalaman serius.
Wang, dari Zhejiang, China itu dilaporkan hampir kehilangan nyawanya selepas bermain 'hula hoop' selama kira-kira 30 minit selepas makan.
Menurut laporan, Wang pada mulanya berasa sakit dan senak pada bahagian atas perut, namun menganggap keadaan tersebut sekadar gangguan pencernaan biasa.

Bagaimanapun, kesakitan yang dialaminya semakin teruk selepas beberapa jam disertai simptom pening yang memaksanya dikejarkan ke hospital.
Sebaik tiba di hospital, keadaan makin membimbangkan apabila doktor mendapati wajah Wang kelihatan pucat manakala bibirnya bertukar kebiruan.
Hasil pemeriksaan mendapati tekanan darah wanita berusia 28 tahun itu turun mendadak 80/50 mmHg, petanda dia mungkin mengalami kejutan berdarah (hemoragik) akibat kehilangan darah yang banyak.
MENARIK DIBACA: 4 sekeluarga maut dalam masa 24 jam selepas makan tembikai
MENARIK DIBACA: Influencer maut lepas buat 'konten' makan ketam beracun, tangkap di hutan bakau
Pemeriksaan ultrasonografi seterusnya mendapati lebih satu liter darah telah terkumpul di dalam rongga perut Wang, menyebabkan pasukan perubatan segera melakukan pembedahan kecemasan.
Ketika prosedur dijalankan, doktor menemukan punca pendarahan iaitu disebabkan limpa yang pecah.
Organ yang terletak pada bahagian kiri atas perut itu didapati rosak sehingga terpaksa dibuang bagi menyelamatkan nyawanya.
Ini bukanlah kes pertama seumpamanya, wakil pihak hospital mendedahkan mereka pernah merawat tiga pesakit lain yang mengalami kecederaan hampir sama akibat hentakan berulang pada bahagian perut ketika bersenam.

Jelasnya, limpa merupakan antara organ dalaman paling rapuh kerana kaya dengan saluran darah dan mempunyai struktur tisu yang lembut.
"Selepas makan, perut akan mengembang dan tekanan dalam rongga abdomen meningkat. Pada ketika itu, limpa akan mengalami kongesti atau dipenuhi darah, menjadikannya lebih mudah terdedah kepada kecederaan.
"Hentakan berulang pada bahagian kiri atas perut ketika bermain hula hoop boleh menyebabkan kerosakan serius, malah berisiko mengakibatkan limpa pecah," katanya.
Oleh itu, aktiviti senaman sebaiknya dilakukan sekurang-kurangnya dua jam selepas makan bagi mengurangkan risiko kecederaan pada organ dalaman.