Piala Dunia 2026: Penyokong merungut makanan di stadium mahal, harga 2 set 'hotdog' hampir RM200
MENIKMATI makanan dan minuman sambil menyaksikan perlawanan bola sepak sememangnya menjadi kebiasaan bagi para penyokong.
Bagaimanapun, sesetengah peminat yang berkunjung ke stadium bagi menonton perlawanan Piala Dunia Fifa 2026 menyatakan rungutan tentang harga makanan yang dianggap 'cekik darah'.
Bagi mereka, harga makanan dan minuman di stadium tuan rumah terlalu tinggi dan bertaraf 'kayangan'.
Menerusi laporan media antarabangsa, penyokong yang hadir di beberapa lokasi di Amerika Syarikat (As) dan Kanada berkongsi resit serta gambar menu yang menunjukkan harga makanan dan minuman yang dikatakan sama mahal seperti di acara sukan premium.
Perkara ini mencetuskan perdebatan mengenai kos untuk menikmati pengalaman Piala Dunia secara langsung khususnya bagi penyokong yang sudah berbelanja besar untuk tiket penerbangan, penginapan dan tiket perlawanan.

Difahamkan, harga minuman ringan dijual sekitar AS$7.75 (RM31) manakala air mineral pula berharga AS$5.25 (RM21).
Bagi makanan seperti piza, taco, burrito dan nachos pula dijual pada harga sekitar AS$20 (RM81) setiap satu.
MENARIK DIBACA: 'Triple coconut latte' satukan kopi premium bersama keenakan rasa lemak kelapa
MENARIK DIBACA: Tak sangka sedap! Wanita cipta minuman smoothie kacang hijau, siap beri tip cepat empuk
Malah, makanan ringan seperti roti sosej berharga AS$10 (RM40) manakala sebungkus kerepek AS$5.75 (RM23).
Di Toronto, Kanada tular menu dua roti sosej berserta dua minuman ringan berharga C$57.50 (kira-kira RM180).
Zon peminat yang sebelum ini dianggap sebagai alternatif lebih mampu milik turut didakwa mengenakan harga tinggi dengan minuman ringan dijual antara C$7 (RM20) hingga C$10 (RM29).

Meskipun kadar harga berbeza mengikut stadium dan pengendali konsesi, kajian terbaharu oleh SeatPick yang membandingkan kesemua 16 lokasi Piala Dunia mendapati trend kenaikan harga ini berlaku secara menyeluruh.
Bagaimanapun, Fifa mempertahankan pendekatan tersebut dengan menjelaskan bahawa harga ditentukan berdasarkan keadaan pasaran tempatan serta data operasi yang telah disahkan.
Isu ini menimbulkan persoalan lebih besar mengenai kemampuan penyokong biasa untuk menghadiri kejohanan terbesar dunia itu.
Penganalisis industri berpendapat gabungan harga tiket yang semakin mahal, kos operasi stadium premium, peningkatan perbelanjaan perjalanan global serta sasaran komersial yang tinggi berpotensi menjadikan pengalaman menonton Piala Dunia semakin eksklusif.

Secara tradisinya, Piala Dunia dianggap sebagai pesta bola sepak yang menghimpunkan penyokong daripada pelbagai latar belakang ekonomi.
Namun, jika kos untuk menghadiri perlawanan terus meningkat, timbul kebimbangan ramai bahawa kejohanan ini hanya mampu dinikmati oleh golongan tertentu.
Untuk rekod, Fifa menjangkakan pendapatan sekitar AS$8.9 bilion (RM36.6 bilion) daripada Piala Dunia 2026, sebahagian daripada kitaran komersial bernilai hampir AS$13 bilion (RM36.9 bilion) yang merangkumi hak siaran, penajaan, tiket, hospitaliti dan jualan barangan rasmi.
Dalam konteks itu, harga segelas minuman atau sepinggan makanan mungkin kelihatan kecil tetapi bagi ramai penyokong yang sudah berbelanja besar untuk hadir ke kejohanan tersebut, ia menjadi simbol kepada peningkatan keseluruhan kos untuk menikmati Piala Dunia secara langsung.