Isi lembut, kuah manis pekat... Enaknya sira labu, tapi sayang orang Pantai Timur je tahu
TIDAK ramai yang tahu tentang kewujudan pencuci mulut tradisional, sira labu terutamanya dalam kalangan anak muda.
Hidangan ini pun selalunya muncul bila bulan puasa sahaja dan cuma terkenal di Pantai Timur.
Bagi yang pertama kali dengar tentang sira ni, cara masaknya cukup mudah yang mana labu kuning dimasak bersama gula sehingga lembut, dengan kuah berkilat dan pekat.

Biasanya sira labu dihidangkan sebagai pencuci mulut atau santapan manis untuk berbuka puasa.
Nak tahu apa rahsianya supaya lebih sedap? Mestilah pilih labu yang tidak terlalu tua supaya isinya lebih lembut.
Jangan gunakan terlalu banyak air supaya kuah cepat pekat dan daun pandan pula akan menaikkan aroma hidangan.
Jom Kuali kongsikan resipi sira labu:
Bahan-bahan
- 3 biji labu (dikupas dan dipotong)
- 1kg gula
- 5 keping 'nise kerek' atau gula Melaka
- 3 sudu kecil garam
- 3–4 helai daun pandan
- Sedikit air
- Air kapur (untuk rendam labu)
MENARIK DIBACA: "Orang India tak boleh makan" - Netizen harmoni selesai 'isu' bubur lambuk, siap 'offer' tolong masak
MENARIK DIBACA: 3 kaedah cabut bulu kaki guna bahan-bahan dapur, jimat duit tak perlu 'waxing' di kedai
Cara penyediaan
- Labu yang telah dikupas dan dipotong direndam dalam air kapur selama lebih kurang satu jam supaya teksturnya menjadi pejal dan tidak mudah hancur ketika dimasak.
- Setelah direndam, labu dibersihkan dengan air bersih beberapa kali untuk membuang sisa air kapur.
- Seterusnya, masukkan labu ke dalam periuk bersama gula, nisey kerek, garam dan daun pandan. Kemudian tambahkan sedikit air sahaja kerana labu akan mengeluarkan airnya sendiri semasa dimasak.
- Masak labu menggunakan api sederhana sambil periuk ditutup dan biarkan selama kira-kira 30 minit sehingga kuah gula menjadi pekat dan menyira labu dengan cantik.
- Setelah masak, angkat dan hidangkan. Hasilnya akan kelihatan cantik, berkilat, dan lembut dengan rasa manis yang menyerap dalam isi labu.