Lupakan trend Khairul Aming, kanak-kanak 'rare' ini lebih terliur tengok resipi komik 'legend' Lawak Kampus
GARA-gara terliur dan ditambah dengan rasa ingin tahu, seorang budak lelaki mencuri perhatian apabila membancuh minuman mengikut resipi yang ada di dalam komik Lawak Kampus.
Menerusi perkongsian ibu kanak-kanak tersebut dalam Threads di akaun syirashukri, anaknya minta dibelikan buah tembikai, oren dan air soda kerana mahu menyediakan minuman untuk berbuka puasa.
Menyangka anaknya mahu meniru resipi air oleh Khairul Aming, namun sangkaannya salah apabila kanak-kanak itu rupanya terpengaruh dengan resipi yang dikongsikan dalam komik Lawak Kampus.

"Hari ni budak lelaki ni (anak) pesan balik kerja nanti belikan tembikai, oren dan air soda. Dia nak buat air katanya.
"Ingatkan nak buat resipi KA (Khairul Aming), rupanya buat resipi Lawak Kampus.
"Dia terliur tengok air dalam komik Lawak Kampus yang dia baca. Jadi dia nak buat untuk berbuka nanti," kongsi ibunya.
MENARIK DIBACA: [V] Bimbang berat badan naik, Ezzanie Jasny cuma berbuka puasa dengan kurma
MENARIK DIBACA: 11 tip memasak pernah dikongsi artis, chef... Peminat ingat dan amalkan sampai sekarang
Menerusi beberapa keping foto yang dikongsikan, kelihatan budak lelaki itu dengan gigih menyediakan minuman yang diinginkan dan ternyata hasilnya nampak sungguh menyelerakan.
Dalam hantaran tersebut, wanita itu turut berkongsi jilid serta muka surat yang memaparkan resipi minuman yang terdiri daripada campuran tembikai, oren dan soda itu.
"Pergilah cuba nanti. Rujuk resipi dalam Lawak Kampus, jilid 42, muka surat 101. Selamat berjaya," katanya.
Di ruangan komen, rata-rata netizen turut terhibur dengan gelagat kanak-kanak itu, malah ada yang gembira kerana komik tersebut masih lagi dibaca oleh generasi kini.

"Comel sampai terbawa ke dunia nyata.
"Nasib baik dia buat guna blender, bukan mesin basuh ikut cara dalam komik," antara komen netizen
Untuk info, Lawak Kampus adalah siri komik yang menceritakan hitam putih kehidupan di alam persekolahan menengah yang lazim dengan pelbagai tabiat dan masalah pelajar.
Komik yang mula diperkenalkan sejak tahun 2003 itu dicipta oleh dua artis Gempak Starz, Keith dan Zelo dan masih kekal sehingga ke hari ini.