"Kenapa keluarga si mati kena sedia makanan?" - Pendakwah ulas amalan waris rai tetamu ziarah kematian
AMALAN menyediakan makanan ketika hari kematian atau majlis tahlil dilihat sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat Melayu.
Bagaimanapun, seorang individu mencetuskan perbincangan ramai apabila mempersoalkan kewajaran di sebalik amalan tersebut.
Menerusi perkongsian di Threads, dia meluahkan rasa hairan mengapa keluarga si mati perlu menyediakan jamuan untuk tetamu yang datang ziarah.
"Saya rasa agak pelik kenapa keluarga orang yang meninggal dunia perlu sediakan makanan untuk orang yang datang ziarah... kenapa ya?" tulisnya.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya tampil dengan pendapat tersendiri.
Sebahagian warganet berpandangan amalan tersebut sepatutnya diperbetulkan kerana ia dilihat membebankan ahli keluarga yang sedang berduka.
MENARIK DIBACA: Tak sedar risiko... Ramai buat 5 kesilapan ini ketika simpan, kendali tong gas
MENARIK DIBACA: Memang sedap kalau dibuat bakar, ini antara khasiat mentarang laut untuk tubuh
"Sepatutnya yang datang itu bersedekah apa saja, bukan keluarga si mati yang perlu sediakan jamuan. Dalam Islam, orang yang meninggal hanya dibantu oleh tiga perkara iaitu amalan sendiri, sedekah jariah dan doa anak yang soleh.
"Sebabnya mereka (keluarga arwah) terbiasa dengan fikiran tetamu patut kita sajikan. Selepas menghadapi beberapa kematian dalam keluarga, kami berhenti buat. Malah, tetamu yang datang sedekah minuman dan makanan ringan kepada yang datang menziarah. Alhamdulillah," antara komen netizen.

Mazhab Syafie ada menyatakan pandangan mengenai hukum menyediakan kenduri arwah.
وأما إصلاح أهل الميت طعامًا وجمع الناس عليه، فلم يُنقل فيه شيء وهو بدعة غير مستحبّة. ويُستدل لهذا بحديث جرير بن عبد الله رضي الله عنه: كنا نعد الاجتماع إلى أهل الميت وصنعة الطعام بعد دفنه من النياحة
Maksudnya: "Jika ahli si mati membuat makanan untuk orang ramai dan menghimpun mereka kepada makanan itu, maka ianya tidak ada sandaran riwayat yang boleh dipegang sedikit pun, dan perbuatan itu bidaah yang tidak disunatkan. Berdalil dengan hadis Jarir Bin Abdullah r.a: “Kami mengira perhimpunan kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengebumiannya adalah dari ratapan kematian."
Pendakwah dan pensyarah bidang Syariah, Datuk Dr Abdul Basit Abdul Rahman atau lebih dikenali Dr Abu Anas dalam ulasannya menyatakan amalan ahli keluarga si mati menyediakan makanan untuk orang ramai selepas kematian adalah adat yang bertentangan dengan sunah dan sepatutnya dihentikan.
Walaupun ada yang menganggapnya perkara kecil, ia sebenarnya melibatkan pembaziran dan termasuk dalam amalan bidaah serta makruh hukumnya.
Menurutnya, ulama bersepakat bahawa bukan ahli si mati yang perlu menjamu orang ramai, sebaliknya jiran dan saudara mara digalakkan menyediakan makanan untuk keluarga yang berduka.
Amalan kenduri selepas hari-hari tertentu juga tidak digalakkan dan tidak disokong oleh para ulama.