Pelanggan kecewa makan tomyam 'tak cukup sifat' - "Jangan order kalau tukang masak Indonesia"
SETIAP negara mempunyai cita rasa dan cara memasak tersendiri, dengan menu dari negara lain biasanya akan diolah mengikut budaya serta selera masyarakat tempatan.
Begitu juga dengan tomyam yang berasal dari Thailand tetapi cukup popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Seorang pengguna Threads mencuri perhatian ramai apabila berkongsi pandangannya selepas menikmati tomyam di sebuah kedai.
Menurut individu tersebut, rasa tomyam yang dibeli adalah di luar jangkaannya sehingga dia membuat satu kesimpulan sendiri.

“Rule no 1, jangan order tomyam dekat kedai tomyam yang tukang masaknya Indonesia.
“It doesn't sound right, doesn't feel right and most importantly doesn't taste right,” tulisnya.
Tambahnya lagi, kuah tomyam yang dihidangkan didakwa mempunyai rasa terlalu ringkas dan kurang menyerlah, berbeza dengan resipi asli dari Thailand.
“Rasa macam stok ayam yang diletak cili ketuk sahaja dengan pewarna merah.
“They should invest in adding tomyam paste,” katanya lagi.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi warga maya, malah ramai tampil berkongsi pengalaman masing-masing berhubung topik yang diketengahkan.
MENARIK DIBACA: Risau ibadat tak sah, wanita bawa baldi ke pasar elak najis bahan basah - "Duit baki pun boleh kena darah"
MENARIK DIBACA: Rahsia orang dulu masak sedap lain macam! Kena sabar, guna petua pecah minyak 3–4 kali
Ada yang mengakui pernah mengalami situasi sama apabila rasa tomyam dibeli tidak menepati cita rasa mereka.
“Memang epic failed. Dua kedai dah kena blacklist untuk tomyam, kedai mamak dengan kedai tukang masak Indonesia,” tulis seorang netizen.
Selain itu, ada juga pengguna yang berkongsi bahawa mereka lebih menggemari tomyam yang dimasak oleh tukang masak dari selatan Thailand atau Kelantan kerana dianggap lebih hampir dengan rasa asli.
“Saya kalau makan tomyam memang prefer orang selatan Thailand dan Kelantan,” komen seorang lagi pengguna.

Dalam pada itu, ada netizen berpendapat perbezaan rasa mungkin berlaku disebabkan latar belakang tukang masak, penggunaan bahan serta teknik memasak yang tidak sama.
Malah, sesetengah pengguna turut menegaskan bahawa tukang masak dari negara yang sama juga menghasilkan rasa masakan berbeza kerana setiap individu mempunyai kemahiran dan resipi tersendiri.
Perbincangan tersebut sekali lagi membuktikan bahawa rasa makanan sememangnya sangat subjektif dan berkait rapat dengan selera masing-masing.
Apa yang dianggap sedap oleh seseorang mungkin berbeza bagi individu lain, lebih-lebih lagi untuk hidangan popular seperti tomyam yang mempunyai pelbagai versi dan gaya penyediaan di rantau Asia Tenggara.