Kedai tutup sekejap untuk solat Jumaat, pelanggan beri reviu buruk sebab tak letak notis
SETIAP kali masuk waktu Zuhur pada hari Jumaat, kebanyakan premis termasuk kedai makan di kawasan majoriti penduduknya Muslim akan menghentikan sementara operasi mereka untuk solat berjemaah.
Bagi pelanggan terutama golongan lelaki Muslim, mereka seharusnya tahu tempat yang sepatutnya mereka perlu berada pada waktu itu.
Bagaimanapun tidak semua individu pergi ke masjid atau surau untuk menunaikan solat Jumaat dengan ada yang masih dilihat bersantai atau meneruskan aktiviti harian seperti biasa.

Seorang pekerja di sebuah kedai ayam gepuk berkongsi tangkap layar memaparkan keluhan seorang lelaki terhadap premisnya gara-gara menutup seketika operasi tanpa meninggalkan notis.
"Hari Jumaat memang tutup ke? Saya datag sekitar pukul 1.30 petang, kedai tutup gelap, tapi ayam semua ada.
"Sekurang-kurangnya tulislah tutup sebab apa dan buka semula pukul berapa," tulisnya yang turut memberikan penilaian satu bintang di ruangan reviu kedai tersebut.
MENARIK DIBACA: Banyak punca cili kisar cepat rosak, Kak KM kongsi teknik betul penyimpanan
MENARIK DIBACA: [V] Tokti penggemar ikan sungai, malu-malu mengaku handal masak patin tempoyak - "Level kepakaran 9 per 10"
Keluhan pelanggan itu membuatkan salah seorang pekerja berkongsi tangkap layar reviu yang ditinggalkan sambil membidas komennya.
"Aku peliklah orang sekarang. Aku pekerja ayam gepuk kedai ni. Masalahnya hari ini hari Jumaat, yang kau datang pukul 1.30 petang apahal?
"Nama dah lelaki, kau tak pergi solat Jumaat ke?" tulisnya.
Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai pengguna media sosial yang meninggalkan pelbagai komen, termasuk hukum menjalankan urusan jual beli ketika waktu solat Jumaat.

"Mesti dia tak tahu haram jual beli lepas azan kedua berkumandang.
"Kantoi tak solat Jumaat, tak menyabar nak makan ayam gepuk.
"Haram transaski jualan pada lelaki Muslim selepas azan Zohor pada hari Jumaat sehingga habis waktu solat," komen beberapa orang netizen.
Namun, ada juga yang mengingatkan agar tidak terlalu cepat membuat penilaian kerana seseorang mungkin mempunyai sebab tertentu yang tidak diketahui orang lain termasuk ketika sedang bermusafir.