Tak sedar risiko... Ramai buat 5 kesilapan ini ketika simpan, kendali tong gas
HAMPIR semua kediaman pasti ada sekurang-kurangnya satu tong gas yang digunakan untuk tujuan memasak.
Tong gas LPG (Liquefied Petroleum Gas) sememangnya menjadi pilihan utama, namun cara penyimpanannya sering dipandang ringan.
Hakikatnya kesilapan kecil dalam mengendalikan tong gas ini boleh membawa risiko besar termasuk kebakaran dan letupan.
Lebih membimbangkan, kesilapan ini sering dilakukan tanpa disedari.
Pernahkah anda terfikir cara anda menyimpan tong gas di rumah sudah cukup selamat atau tidak?
Berikut lima kesalahan biasa yang perlu dielakkan dalam aspek penyimpanan tong gas:

1. Pengudaraan di ruang simpanan
Ramai gemar menyimpan tong gas di dalam kabinet atau ruang tertutup supaya ruang dapur kelihatan kemas.
Cara ini sebenarnya berbahaya kerana gas LPG lebih berat daripada udara, jadi jika berlaku kebocoran ia akan mendap di lantai dan terperangkap.
Keadaan ini boleh menyebabkan gas mudah menyala apabila terkena percikan api.
Tip selamat adalah simpan tong gas di kawasan atau ruang yang mempunyai pengudaraan baik atau dapur dengan aliran udara terbuka.

2. Berhampiran sumber haba
Satu lagi kesilapan yang sering dilakukan ialah meletakkan tong gas terlalu dekat dengan dapur, 'oven', periuk nasi elektrik atau terdedah kepada cahaya matahari.
Haba boleh meningkatkan tekanan dalam tong gas dan mencetuskan kebocoran atau letupan.
Jarak selamat adalah sekurang-kurangnya satu meter dari sumber panas.
MENARIK DIBACA: Nikmat dapat minum 'coconut shake' ala Klebang, mudah je nak buat
MENARIK DIBACA: Memang sedap kalau dibuat bakar, ini antara khasiat mentarang laut untuk tubuh

3. Baringkan tong gas
Disebabkan kekangan ruang, ada yang meletakkan tong gas secara baring dan ini sebenarnya sangat berisiko.
Dalam posisi tersebut, cecair LPG boleh keluar melalui regulator (alat kawal gas) dan menyebabkan api menjadi lebih besar serta sukar dikawal jika berlaku kebakaran.
Cara betul adalah pastikan tong gas sentiasa diletakkan dalam keadaan tegak.

4. Simpan di dalam rumah
Tong gas tambahan sering disimpan di dapur atau stor.
Jika berlaku kebocoran serentak antara tong utama dan tong simpanan, risiko letupan menjadi lebih tinggi.
Justeru, disarankan letak tong gas simpanan di luar rumah atau kawasan terbuka yang redup.

5. Abaikan hos dan regulator
Perkara ini sering dianggap remeh sedangkan ia antara punca utama kebocoran gas.
Antara kesalahan termasuk menggunakan hos yang sudah retak, regulator longgar atau tidak menggunakan klip keselamatan.
Ingat, kebocoran kecil boleh bertukar menjadi tragedi besar.
Tip penting adalah tukar hos dan regulator setiap satu hingga dua tahun atau dengan segera jika sudah keras dan rosak.