Berat sama, harga beza! Rupanya ada sebab sardin tin leper lebih mahal dari jenis menegak
KALAU rajin ke kedai atau ke pasar raya, anda mesti perasan terdapat dua bentuk pembungkusan sardin iaitu dalam tin menegak dan leper.
Walaupun kedua-duanya memiliki berat yang sama seperti mana dicetak pada tin, namun sardin dalam kemasan berbentuk leper harganya lebih mahal berbanding tin menegak.
Justeru, timbul persoalan dalam kalangan pengguna kenapa harganya berbeza walaupun kedua-dua jenis sardin itu memiliki berat yang sama?
Kemusykilan itu disuarakan oleh seorang pengguna Threads yang mempertikaikan perbezaan harga bagi produk yang isi kandungannya sama, cuma berlainan pembungkusan.

"Tumpang tanya, apa beza sardin baring (tin leper) dengan sardin berdiri (tin menegak)? Berat sama tapi sardin baring lagi mahal," tulisnya di Threads.
Berdasarkan gambar yang dikongsi, satu tin sardin bentuk menegak berharga RM9.65, manakala sardin dalam tin leper dijual pada harga RM11.95 dengan berat masing-masing 425 gram.
Perkara yang dibangkitkan ini menarik perhatian ramai pengguna yang meninggalkan pelbagai jawapan mengikut pengetahuan dan logik akal masing-masing.
Tak kurang juga yang memberikan jawapan lucu dan menghiburkan.
MENARIK DIBACA: Pelanggan cuak pecahkan gelas di Rembayung, tak beritahu KA walau bersua muka
MENARIK DIBACA: Guna 3 bahan ini untuk buat minuman 'pembakar lemak', bantu kawal nafsu makan
"Satu sardin duduk rumah 'landed', satu lagi duduk apartment. Rumah 'landed' lagi mahal.
"Sardin baring 'sleeping beauty', sardin berdiri pengawal.
"Sardin baring tu syif kerja dah habis tapi kena OT (overtime) itu yang jadi mahal. Sardin berdiri tu masih bekerja, jadi bayar gaji macam biasa," antara komen lucu warganet.

Bagaimanapun, seorang individu dipercayai pengguna tegar sardin menerangkan bahawa walaupun kedua-dua makanan dalam tin itu memiliki berat yang sama, namun ia berbeza dari segi rasa, kualiti dan saiz ikan.
"Saya baru beli kedua-duanya. Sardin dalam tin berbentuk bujur lagi sedap, dagingnya lembut.
"Ikan dalam tin sardin menegak lebih tebal, keras dan berketul. Sesuai untuk buat nasi goreng dan sandwic. Ikan dalam tin sardin melintang lebih lembut dan sosnya juga manis.
"Saya tanya ChatGPT, ikan sardin dalam tin menegak lebih banyak kuah, ikan kurang padat. Tin melintang pula ikan padat tapi kurang kuah," demikian antara komen pengguna.