Ayam belanda Rusia masuk pasaran Malaysia, patuhi standard halal Jakim
AYAM belanda dari Rusia diperkenalkan di pasaran Malaysia sekali gus melakar satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuhkan keterjaminan makanan serta ekosistem halal negara.
Paling utama, bahan mentah itu turut mendapat perakuan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum dipasarkan di negara ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengenalan produk bertemakan 'From Russia With Love' itu bukan sekadar soal perdagangan tetapi kerjasama dua hala antara Malaysia dan Rusia.
"Insya-Allah, rakyat Malaysia kini boleh menikmati ayam belanda halal, selamat dan berkualiti, sama ada untuk sambutan perayaan ataupun sebagai pilihan makanan harian.
"Kerajaan akan terus memastikan setiap sumber makanan yang masuk ke negara ini mematuhi standard halal, keselamatan dan kualiti, demi kepentingan pengguna dan kestabilan bekalan makanan negara," kata Mohamad Sabu menerusi hantaran Facebook miliknya.
Dalam pada itu, segi tatakelola import dan keselamatan makanan, Mohamad Sabu menjelaskan ia dibuat berdasarkan pematuhan syarat kemasukan import Malaysia serta mengambil kira status Wilayah Penza sebagai kawasan yang diiktiraf bebas penyakit High Pathogenicity Avian Influenza (HPAI).
Pada masa sama, langkah tersebut penting bagi memastikan bekalan ayam belanda mencukupi, khususnya ketika musim perayaan di samping memberi lebih banyak pilihan makanan halal kepada rakyat Malaysia.
MENARIK DIBACA: Daun kesum boleh hilangkan kelemumur, bantu cegah penuaan
MENARIK DIBACA: Bonsha jadi kegilaan... Tak salah mencuba, ada risiko kesihatan perlu diambil peduli
"Dari sudut teknikal, rundingan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) dimuktamadkan pada 13 Ogos 2025, diikuti proses audit sebelum loji pemprosesan yang memenuhi keperluan diluluskan pada 3 Disember 2025," ujarnya.
Bagaimanapun, Mohamad Sabu berkata, jumlah bekalan di pasaran bergantung kepada urusan pengimportan oleh pihak swasta, termasuk syarikat 3Bumi Trading Sdn Bhd yang menerajui kemasukan produk berkenaan ke pasaran tempatan.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Sabu menekankan hubungan perdagangan Malaysia–Rusia yang terus berkembang dengan nilai perdagangan dua hala mencecah sekitar AS$3 bilion (RM12.20 bilion) setahun, merangkumi pelbagai sektor termasuk makanan dan pertanian.
Usaha tersebut sekali gus mencerminkan potensi kerjasama strategik yang lebih luas antara kedua-dua negara, khususnya dalam memperkukuh rantaian bekalan makanan halal global.