Berendam dalam ‘Hotpot Spring’ jadi kegilaan, boleh pilih sup pedas atau sayur
KETIKA ini sedang tular trend mandian kesihatan dikenali sebagai 'hotpot spring' iaitu berendam di dalam kolam air panas yang diisi dengan rempah, sayur-sayuran dan cili.
Sekali pandang, gaya mandian ini tidak ubah seperti kuali gergasi yang diisi dengan kuah atau sup ala steamboat.
Malah ada pula menyangka foto yang tular di media sosial sebagai hasil teknik kecerdasan buatan (AI) kerana merasakan ia tidak masuk akal.
Namun trend mandian ini benar-benar wujud malah semakin banyak pusat peranginan dan resort di China berlumba-lumba menyediakan perkhidmatan unik ini untuk menarik perhatian pengunjung.

Salah satu lokasi yang sedang popular terletak di Maple Leaf Village Hot Spring Resort di Harbin dalam wilayah Heilongjiang, China.
Resort tersebut tidak main-main dalam memberikan pengalaman buat pengunjung apabila menyediakan kolam menyerupai kuali besar.
Uniknya, kuali gergasi itu dibahagikan kepada dua bahagian, persis seperti hotpot yang boleh menempatkan pilihan dua jenis sup berbeza iaitu pedas dan sup sayuran.
Dalam salah satu ruang hotpot, kelihatan beribu-ribu tangkai cili digunakan bersama kuah berwarna merah.
MENARIK DIBACA: Pemilik Sugar and I hampir putus asa, bomboloni jadi ‘penyelamat’ ketika pandemik
MENARIK DIBACA: Mi cawan mini pikat hati si comel, snek kreatif hanya guna air fryer
Bukan sekadar hiasan, cili yang digunakan adalah cili sebenar namun memiliki tahap kepedasan paling rendah.
Namun, kuah merah yang terhasil itu sebenarnya dibuat menggunakan kelopak bunga mawar merah untuk menghasilkan bau harum bunga-bungaan.
Dikatakan berendam dalam air cili baik untuk kesihatan tubuh kerana dapat membantu melancarkan peredaran darah selain meningkatkan metabolisme.
Walaupun trend ini kelihatan seperti gimik, namun hakikatnya kaedah itu sebenarnya terinspirasi daripada perubatan tradisioal Cina yang wujud sejak ribuan tahun lalu.

Pada masa sama, mandi di dalam kolam herba menjadi antara tradisi dilakukan oleh maharaja China untuk tujuan kesihatan dan kekuatan tubuh badan.
Sejak berabad-abad lalu, kaedah ini digunakan untuk merawat dan mencegah pelbagai penyakit secara semula jadi.
Harga untuk berendam di dalam hotpot unik itu adalah sekitar 160 Yuan atau setara RM92.
Bagaimanapun para pengunjung dinasihatkan supaya berendam tidak melebihi masa antara 15 hingga 20 minit bagi mengelak kesan kulit menjadi terlalu kering dan terbakar.