Pemilik Sugar and I hampir putus asa, bomboloni jadi ‘penyelamat’ ketika pandemik
PENGGEMAR pastri dan pencuci mulut pasti tahu tentang kafe Sugar and I yang cukup popular dengan bomboloni iaitu donat khas dari Itali.
Bentuknya yang bulat, lembu dan gebu - dengan pelbagai pilihan isi seperti krim kastard, coklat, strawberi dan sebagainya cukup menggoda selera.
Seperti kisah kejayaan jenama tempatan yang lain, Sugar and I yang kini mempunyai dua cawangan sekitar Lembah Klang juga tersimpan kisah tentang keberanian mengejar impian.
Ia bermula dengan tindakan berani pengasasnya iaitu Syed Mohd Ilyas meninggalkan zon selesa dan karier yang stabil bagi mengejar cita-cita dalam dunia perniagaan.

Hanya selepas dua tahun bergelar seorang jurutera, Ilyas membulatkan hati ingin terlibat dalam dunia perniagaan walaupun ia bukan keputusan mudah.
Apatah lagi apabila mengenangkan segala penat lelah pernah dilalui demi menggengam gelaran sebagai seorang jurutera.
"Keinginan untuk bergelar usahawan tidak pernah padam walaupun saya sudah mempunyai karier yang stabil sebagai jurutera.

"Tapi saya nekad dengan keputusan ingin buat bisnes walaupun ketika itu saya belum terbayang bentuk perniagaan yang ingin diceburi," katanya membuka bicara kepada Kuali.
Cerita jejaka berusia 35 tahun itu, tahun 2016 menjadi titik permulaan apabila idea menjual brownies tercetus bersama adik perempuannya, Sharifah Nur Ilisa.
Itu pun kata Ilyas, ibu bapa mereka memintanya membuatkan manisan tersebut kerana teringin merasai air tangannya.
MENARIK DIBACA: [V] Berat pernah cecah hampir 100 kilogram, Nazrief Nazri disiplin bab diet - “Kerjaya saya perlu ‘jual diri’”
MENARIK DIBACA: Jangan buang! Kulit tembikai boleh dijadikan halwa, sedap dimakan bersama nasi
“Tak sangka pula kek brownies itu mendapat pujian kerana sedap. Malah saudara-mara dan jiran turut memujinya,” kongsi anak jati Subang Jaya, Selangor itu.
Dorongan dan keyakinan mula terbina apabila orang sekeliling mencadangkan agar brownies tersebut dijual - Dari situlah, perjalanan mereka dalam dunia bisnes bermula.
Bermula dari dapur rumah, Ilyas dan Nur Ilisa mula menjual kek brownies secara dalam talian dan sokongan ramai membuatkan mereka berani membuka kafe pertama di SS14, Subang Jaya pada 2019.

"Ketika itu saya masih seorang jurutera dan menjual brownies selepas habis kerja dan bisnes berjalan lancar secara kecil-kecilan dari rumah.
"Sehinggalah permintaan semakin tinggi dan kami memberanikan diri membuka kedai pastri pertama di SS14," kongsinya.
Namun, perjalanan Sugar and I tidak sentiasa manis - ketika perniagaan sedang berkembang, dunia dikejutkan dengan penularan wabak Covid-19 yang turut memberi kesan besar kepada bisnes.

Cerita Ilyas, dia bukan sahaja hilang pelanggan malah pendapatannya juga mula terjejas dan menyifatkan ia titik terendah dalam hidup ketika itu.
"Setiap hari saya diselubungi rasa bimbang dan panik sebab mencari jalan untuk terus bertahan.
"Apatah lagi kami mempunyai pekerja yang perlu dibayar gaji walaupun perniagaan terjejas," katanya.
Bagaimanapun kata Ilyas, pandemik Covid-19 juga membuka jalan untuk Sugar and I terus berkembang dan dikenali seperti mana hari ini.

Sepanjang tempoh itu, Ilyas banyak membuat kaji selidik dalam usaha menampilkan menu baharu dalam usaha menarik pembeli.
Ketika itulah idea menghasilkan bomboloni terhasil walaupun dia sendiri tidak mengetahui tentang pencuci mulut berkenaan.
"Jujurnya memang saya tak tahu apa itu bomboloni tapi demi memenuhi permintaan pelanggan, kami banyak buat kaji selidik selain mencuba sendiri resipinya sehingga berjaya.
"Alhamdulillah pelanggan sangat gembira dan sejak itu ia menjadi buah mulut ramai. Sejak itu juga permintaan datang tanpa henti," katanya.
Situasi itulah menjadi titik paling rendah dalam hidup saya kerana hilang punca pendapatan.
SYED MOHD ILYAS, Pengasas Sugar and I
Kini, Sugar and I terus melakar kejayaan apabila berjaya membuka cawangan kedua di Mitsui Shopping Park LaLaport, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Besar berhasratnya memperkenalkan lebih banyak pencuci mulut unik yang sukar didapati di Malaysia pada masa hadapan.
"Alhamdulillah, pembukaan cawangan kedua ini menjadi satu pencapaian besar buat kami.
"Saya mengetengahkan konsep kedai estetik agar pelanggan dapat menikmati pencuci mulut dalam suasana santai,” katanya.