Kajian buktikan makan pedas panjangkan hayat, kurangkan risiko kanser dan diabetes
JANGKA hayat individu yang gemar makan pedas setiap hari meningkat 14 peratus lebih tinggi.
Kajian yang dibuat oleh Harvard Health turut mendapati ia turut mengurangkan risiko kematian akibat kanser, penyakit jantung dan berkaitan masalah pernafasan.
Dalam kajian yang dikeluarkan itu menyebut, individu yang mengambil makanan pedas berasaskan cili segar turut terbukti memiliki risiko lebih rendah untuk mendapat kanser, penyakit jantung dan diabetes.

Bagaimanapun, sumber dan jenis makanan pedas yang diambil menjadi faktor penentu.
Ini kerana pengambilan cili kering dengan kerap memiliki potensi lebih tinggi untuk seseorang mendapat masalah berkaitan jantung.
Kajian tersebut melibatkan 487,375 peserta berusia 30 hingga 79 tahun di China dan telah dipantau selama tujuh tahun.
MENARIK DIBACA: Ada sebab ikan keli meletup ketika digoreng, bahan ini boleh mengatasinya
MENARIK DIBACA: Ada kisah di sebalik kewujudan ‘Michelin Star’, asalnya strategi jual tayar
Hasil diperolehi menunjukkan, pengambilan makanan pedas dilihat lebih banyak memberi kesan positif terhadap kesihatan, terutama bagi mereka yang tidak minum alkohol.
Kajian terdahulu sebenarnya telah membuktikan bahawa makanan pedas sebenarnya mempunyai banyak kebaikan dari segi kesihatan jika diambil dengan kaedah dan kuantiti yang betul.
Antaranya, makanan pedas dapat meningkatkan metabolisme tubuh dan mengurangkan nafsu makan selain turut membantu menurunkan bacaan gula dalam darah.

Menurut kajian yang diterbitkan oleh American Journal of Clinical Nutrition, makanan pedas memiliki kesan positif terhadap individu yang mempunyai masalah berat badan berlebihan termasuk penghidap diabetes.
Dalam kajian tersebut menyebut, makanan pedas dapat membantu mengawal kadar insulin dalam badan selepas seseorang itu makan.
Walaupun makanan pedas dilihat memiliki manfaat yang baik untuk kesihatan, namun diingatkan untuk mengawal pengambilannya.
Ini kerana ia boleh mendatangkan keburukan seperti mengakibatkan gangguan pada sistem pencernaan, pembentukkan asid refluks dan kerengsaan pada usus.