Iftar 2026 di Dataran Merdeka lebih meriah, pelancong nak rasa suasana Ramadan di Malaysia
MALAYSIA antara negara yang menjadi pilihan pelancong luar mahupun ekspatriat untuk merasai pengalaman berpuasa di bulan Ramadan.
Sempena kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tampil dengan Program Iftar Ramadan 2026.
Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata penganjuran kali ini dirangka lebih komprehensif dan berskala besar bagi memperkukuh penawaran pelancongan budaya serta kerohanian negara.

"Iftar Ramadan pada tahun ini diadakan bersempena TMM2026. Walaupun acara ini dilaksanakan setiap tahun, kali ini program tampil dengan pengisian lebih meriah bagi menyambut TMM2026.
"Objektifnya adalah untuk memperkenalkan produk-produk pelancongan menerusi program iftar ini selain membolehkan pelancong menikmati dan merasai pengalaman berbuka puasa di sini," katanya yang ditemui selepas pelancaran Iftar Ramadan 2026.
MENARIK DIBACA:Senarai restoran tawar aneka sajian Melayu dengan suasana kampung ala Rembayung
MENARIK DIBACA:Tak semua makanan disediakan untuk berbuka di masjid boleh dimakan wanita haid
Majlis pelancaran program ini disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man pada Sabtu lalu.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris serta barisan pengurusan tertinggi MOTAC dan JKKN.
Program berkenaan dianjurkan MOTAC melalui JKKN dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kini memasuki tahun ke-14 penganjuran.

Shaharuddin berkata program ini bukan sekadar acara berbuka puasa beramai-ramai, malah menjadi manifestasi keharmonian masyarakat berbilang kaum serta medium memperkukuh perpaduan melalui pengisian kerohanian dan kebudayaan.
Program itu berlangsung empat hari pada 28 Februari, 1, 14 dan 15 Mac 2026 di Dataran Merdeka.
Pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk memasak dan mengedar bubur lambuk, persembahan kerohanian, solat berjemaah, tadarus al-Quran dan Bicara Ramadan.